Kami ingin menjawap kenyataan saudara Tian Chua selaku Ketua Penerangan Parti Keadiloan Rakyat (PKR), yang disiarkan di beberapa laman web sejak beberapa hari lalu.
Melalui tajuk, 'PRM sudah bergabung dengan Keadilan', kenyataan itu yang dibuat sejurus Parti Rakyat Malaysia (PRM) selesai mengadakan Kongres ke 38 pada 16 Julai 2006 lalu.
Kami berpendapat saudara Tian Chua tidak berhak mencampuri urusan PRM, apa lagi mendakwa 'tidak dihadiri secara betul oleh perwakilan'. Secara sedar kami menegaskan bahawa saudara Tian Chua telah melampaui tugasnya selaku Ketua Penerangan PKR.
Malah lebih jauh dari itu beliau telah mendahului pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) ketika mempersoalkan betul atau tidaknya perjalanan Kongres PRM. Sedangkan beliau sendiri tidak sempat pun hadir dalam mana-mana Kongres PRM, walaupun pernah menjadi ahli PRM untuk beberapa seketika.
Bagaimana pun ada baiknya bagi kami menjawab sekadar membalas 'bedilan kecil' saudara Tian Chua yang sewajarnya dibuat oleh orang yang lebih berpengalaman dalam PRM yang kini berada dalam pimpinan PKR.
Adakah terdapat semacam pemikiran, kerana adanya beberapa bekas pimpinan PRM dalam PKR, maka tiada sesiapa pun yang berhak menggunakan nama Parti Rakyat. Lantaran itu kenyataan saudara Tian Chua yang menyebut tidak boleh mewakili aspirasi anggota-anggota PRM, sebagai sesuatu yang melucukan.
Perlu ditegaskan, selama ini kami dilatih dan dididik dengan kata-kata keramat 'sesiapa termasuk pemimpin boleh datang dan pergi, tapi Parti melalui ahli-ahlinya yang cekal dan setia akan terus memikul panji-panji perjuangan.' Aspirasi PRM hanya boleh dibawa oleh ahli-ahli tulen PRM.
Selepas lenyap beberapa ketika, kini isu pergabungan timbul semula, tapi persoalannya sekarang, apakah pergabungan yang digembar-gemburkan itu benar-benar berlaku?
Jawapan kami, tidak! Ini kerana kenyataan yang berlaku hanyalah penyerapan beberapa kerat pimpinan PRM dalam PKR, sementara sebahagian besar kini masih berada didalam PRM. Ini dapat kami buktikan.
Tidak keterlaluan jika kami katakan beberapa bekas ahli-ahli PRM yang kini berada dalam PKR, turut menyuarakan penyesalan terhadap apa yang didakwa sebagai pergabungan itu.
Bagi kami pengertian 'pergabungan PRM/PKR' hanya sekadar ilusi. Melalui proses penyerahan diskette senarai ahli-ahli PRM kepada ibu pejabat PKR, maka pimpinan mendakwa penyertaan ahli-ahli PRM ke dalam PKR secara 'en bloc ' telah berlaku.
Dakwaan beberapa pimpinan PRM yang disebut sebagai pernah memegang jawatan tinggi dalam PKR, sebenarnya tidak benar dan tidak pernah berlaku. Mereka sekadar berada didalam badan peralihan yang tidak mempunyai apa-apa kuasa. Ini kerana pada masa yang sama PKR masih mempunyai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) nya sendiri.
Demikian juga PRM, yang turut mempunyai Jawatankuasa Pusat (JKP) nya, yang masih menjalankan kegiatan serta mesyuarat bulanan dan mingguannya sendiri.
Soal bertanding dengan menggunakan lambang PKR, ia sudah menjadi amalan biasa, seseorang yang bukan ahli bertanding menggunakan lambang sesuatu parti dalam pilihanraya tidak menjadi satu isu besar.
Rasanya cukuplah perkara-perkara yang menyentuh soal pergabungan, percantuman atau penyerapan atau apa saja diakhiri segera. Terlalu banyak masa terbuang untuknya.
Hormatilah pilihan kami untuk terus berada dan bergerak cergas dalam PRM. Kami menghormati pilihan saudara-saudara, Semoga maju jaya.
Penulis adalah Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia.