Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Entah apa yang perlu dikatakan atas tindakan Datuk Rafidah Aziz baru-baru ini. Beliau tidak tahu yang dia sedang bermain dengan api yang boleh membakar ekonomi negara dengan lebih teruk.

Rafidah baru-baru ini berkata pelabur-pelabur asing yang datang melabur di Malaysia mesti memberi 30 peratus saham kepada bumiputra Malaysia dan jikalau pelabur-pelabur asing tidak mematuhi kehendak kerajaan, maka kerajaan akan berkata "bye, bye" kepada pelabur asing.

Adakah wajar apa yang dikatakan oleh Rafidah itu? Memang benar bumiputra Malaysia patut mendapat 30 peratus saham daripada pelabur-pelabur asing, tetapi adakah ini caranya kerajaan berbincang dengan pelabur-pelabur asing?

Bukankah ini akan menyebabkan pelabur-pelabur gergasi berpendapat kerajaan Malaysia bersikap bongkak sedangkan ekonomi negara belum lagi mencapai tahap yang memuaskan? Pelabur-pelabur asing yang datang melabur di Malaysia dapat memberi peluang pekerjaan yang tinggi kepada rakyat Malaysia dan juga mempelajari teknologi yang dibawa masuk oleh pelabur-pelabur asing ini.

Adakah Rafidah belum lagi belajar dari masalah yang dihadapi oleh para graduan kita? Sebanyak 80,000 graduan di Malaysia tidak mempunyai pekerjaan dan ada yang mendapat kerja yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan jurusan mereka.

Kerajaan sepatutnya mengalu-alukan kedatangan pelabur-pelabur asing supaya peluang pekerjaan dapat ditingkatkan dan bukannya menghalau pelabur-pelabur asing atau memberi respon negatif kepada mereka.

Pada pandangan saya, kerajaan tidak ada hak atau tidak pun berupaya berkata "bye, bye" kepada pelabur asing kerana ekonomi Malaysia masih lagi belum stabil sepenuhnya.

Jika saya adalah pelabur asing, saya adalah orang pertama berkata "bye, bye" kepada Malaysia dan apakah yang akan berlaku kepada negara ini jikalau semua pelabur-pelabur asing enggan melabur di negara ini?

Saya rasa biarlah Rafidah yang mencari jawapan tersebut. Apa yang boleh dilihat sekarang ialah masalah ini dicari oleh pemimpin kita sendiri danbukannya rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS