Baru-baru ini, laporan sebuah akhbar tempatan mendedahkan bahawa orang Melayu sekarang terlalu banyak diselubungi oleh hiburan. Perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan stesen televisyen tempatan saban hari menyajikan pelbagai rancangan hiburan.
Kemudian ditambah pula dengan pusat-pusat hiburan yang bercambah daripada arkid mesin video, hinggalah kepada kelab malam, pub dan pusat karaoke yang beroperasi sehingga lewat pagi. Selain itu, konsert artis tempatan dan Barat juga turut menambahkan lagi ruang kepada anak muda Melayu untuk berhibur.
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) memandang berat perkara ini kerana ia melibatkan masa depan orang Melayu yang terus leka dan lalai dibuai hiburan yang tidak memberikan apa-apa manfaat. Orang Melayu mestilah mengutamakan pendidikan daripada pelbagai hiburan yang tidak menyumbang kepada perkembangan pemikiran yang sihat serta sanggup menghabiskan wang ringgit mengundi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) demi idola.
Sedangkan kita, khususnya orang Melayu, perlu mengamalkan prinsip keutamaan dalam kehidupan seperti mana yang pernah disuarakan oleh Dr Yusuf Al-Qardawi yang menyeru umat Islam supaya mengutamakan yang utama.
Teras memandang berat isu orang Melayu yang lebih mengutamakan hiburan daripada pendidikan sedangkan mereka masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain dalam dunia pendidikan.
Perkara ini juga perlu mendapat perhatian masyarakat Melayu kerana mereka kini banyak dikaitkan dengan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, Black Metal, dan lumba haram yang menunjukkan keruntuhan akhlak yang semakin serius.
Rancangan-rancangan hiburan seperti pop video yang menampilkan penyanyi Barat dan konsert-konsert terutamanya dari kalangan artis Barat seperti Kumpulan Pussy Cat yang diadakan di negara kita baru-baru ini, lebih menonjolkan kelucahan.
Ditambah pula dengan sajian filem Hollywood dan juga filem Bollywood yang jelas sekali merupakan bahan-bahan lucah, seolah-olah tiada siapa lagi yang dapat membendungnya. Pihak-pihak berkenaan seolah-olah sudah tidak mempedulikan lagi akan kesan buruknya terhadap orang Melayu menerusi pelbagai rancangan hiburan yang disediakan oleh mereka.
Merebaknya unsur-unsur hiburan di kalangan orang Melayu telah menyebabkan mereka lalai dan leka dengan hiburan sedangkan keutamaan terhadap pendidikan demi masa depan mereka sendiri, telah terabai.
Tatkala menyaksikan tanda-tanda jelas kemerosotan orang Melayu mulai berputik, Teras mendapati banyak perkara yang tidak kena dalam kehidupan orang Melayu masakini. Sehubungan itu, Teras mengajak masyarakat Melayu bangkit semula serta melakukan muhasabah diri serta membawa perubahan kepada diri dan keluarga serta masyarakat dengan memegang kepada prinsip keutamaan.
Masyarakat Melayu juga memerlukan anjakan paradigma sekiranya mahu mencipta nama di persada antarabangsa dan mengubah segala sikap yang buruk yang merugikan diri mereka sendiri.
Penulis adalah Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).
