Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Memang tidak dinafikan bahawa tugas polis semakin mencabar dan sentiasa berdepan dengan bahaya. Tidak selesai dengan masalah musuh nombor satu negara iaitu dadah, datang pula pelbagai bentuk jenayah dari kes ragut, rompakan bersenjata, pembunuhan kejam, pendatang tanpa izin, lumba haram sehinggalah kepada bermacam-macam lagi kes jenayah yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Bagi apa sahaja bentuk gejala sosial dan jenayah, orang ramai akan meletakkan tanggungjawab untuk menyelesaikannya di atas bahu pihak polis, termasuklah dalam kes penderaan rumahtangga, kes buli pelajar sekolah dan pencegahan maksiat. Apakah dengan kenaikan gaji, anggota polis akan lebih bersemangat menjalankan tugas?

Yang pasti, setiapkali ada kenaikan gaji, harga barangan pasti akan naik. Yang mendapat kenaikan gaji mungkin tidak akan terasa kenaikan harga barangan. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat kenaikan gaji? Bagaimana dengan mereka yang diberhentikan kerja kerana penstrukturan semula sektor swasta dan korporat? Malah yang lebih teruk lagi bagaimana dengan mereka yang masih menganggur?

Maka apakah jalan pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini iaitu menaikkan gaji anggota polis supaya sepadan dengan tugas dan tanggungjawab mereka dan pada masa yang sama dapat mengelakkan kenaikan harga barangan yang akan membebankan orang lain?

Yang paling utama ialah menjaga kebajikan anggota polis, terutama yang sudah berkeluarga. Pastikan mereka disediakan dengan kelengkapan yang cukup dan terkini ketika menjalankan tugas. Adalah menyedihkan apabila anggota polis membuat rondaan menggunakan motosikal 'kapcai', sedangkan mat-mat rempit menggunakan motosikal yang telah diubahsuai, manakala peragut pula menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

Tahap perlindungan untuk anggota polis juga perlu dipertingkatkan. Memandangkan penjenayah kini tidak gentar berdepan dengan pihak polis, maka disarankan supaya anggota polis yang melakukan rondaan, dibekalkan dengan jaket kalis peluru dan kalis tikaman.

Lihatlah anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mempunyai peralatan yang begitu canggih, segak dan terkini umpama 'Robocop' untuk mencegah rusuhan, sedangkan anggota polis biasa hanya memakai pakaian seragam biasa yang tidak menggerunkan langsung para penjenayah.

Berbalik kepada kebajikan anggota polis, tidak dinafikan mereka mendapat kemudahan rumah kediaman, perubatan dan sebagainya. Tetapi ianya perlu dipertingkatkan lagi dengan menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak anggota polis sehingga ke peringkat tertinggi.

Ini adalah sebahagian daripada contoh bagaimana kita boleh menghargai jasa anggota polis dan pada masa yang sama, semua pihak berpuas hati dan para peniaga pula tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan.

Memandangkan tugas polis semakin meningkat, maka saya ingin mencadangkan supaya diwujudkan unit-unit yang baru. Jika sekarang ada Jabatan Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Trafik, maka wujudkanlah pula Jabatan Remaja untuk menangani kes remaja yang terbabit dalam kegiatan samseng dan Jabatan Agama untuk menangani kes maksiat serta unit-unit lain lagi yang diperlukan.

Penubuhan jabatan dan unit baru ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di samping peluang kenaikan pangkat untuk anggota polis yang sedia ada.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS