Jarak dan bayaran tol yang dikenakan tepat

Kami merujuk kepada surat bertajuk 'Plus didakwa tipu jarak perjalanan tol' di muka surat 13 serta surat bertajuk 'Plus kena semak sistem kiraan batu' di muka surat 14 yang disiarkan dalam Berita Harian pada 29 dan 30 September 2006 serta Plus terlebih kutip tol bagi laluan Kota Damansara-Damansara di lamanweb malaysiakini.

Untuk makluman, pengiraan kadar tol adalah berdasarkan kepada perjalanan dari sempadan had penyelenggaraan Plus (Limit of Maintenance Responsibilities) dan tidak bergantung kepada kedudukan plaza tol.

Sebagai contoh, pengiraan bayaran tol untuk kenderaan Kelas 1 bagi perjalanan di antara Kota Damansara dan Damansara, dikira berdasarkan perjalanan dari had sempadan penyelenggaraan Plus di simpang pertama selepas keluar dari Plaza Tol Kota Damansara (bagi Plaza Tol Kota Damansara) hingga persimpangan lampu isyarat ke Damansara Jaya (bagi Plaza Tol Damansara) iaitu tujuh kilometer.

Oleh itu, bayaran tol yang dikenakan berdasarkan kadar 13.6 sen bagi setiap satu kilometer untuk perjalanan tersebut ialah 95.2 sen dan RM1 (menurut 10 sen yang paling hampir). Oleh yang demikian, kadar tol yang dikenakan kepada pelanggan yang menggunakan laluan Kota Damansara-Damansara adalah tepat.

Selain daripada itu, pengiraan jarak dan kadar tol tersebut telah diteliti dan diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia sejak Plaza Tol Kota Damansara dibuka kepada orang ramai pada bulan September 2003.

Begitu juga dengan perjalanan dari Subang ke Damansara di mana kadar tol dan jarak perjalanan dikira dari sempadan had penyelenggaraan Plus di simpang ke Kelana Jaya (selepas Plaza Tol Subang) hingga persimpangan lampu isyarat ke Damansara Jaya (bagi Plaza Tol Damansara), iaitu sejauh tujuh kilometer dan bayaran tol yang dikenakan ialah RM1.

Plus juga ingin memaklumkan bahawa semua bayaran tol yang dikenakan kepada pelanggan lebuhraya, telah diteliti dan diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Penulis adsalah Pengurus Besar Komunikasi Korporat Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus).
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.