Tingkatkan kempen kitar semula

Di dalam ruangan ini saya ingin menyuarakan pendapat saya sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap alam sekitar. Pertama sekali saya mengucapkan syabas kepada kementerian berkenaan kerana mengambil inisiatif menggalakkan masalah kitar semula di Malaysia sejak tahun 1994.

Saya mencadangkan agar pihak kementerian berkenaan menganjurkan satu pertandingan merekabentuk tong kitar semula di dalam dan juga luar kediaman. Jika dikaji, semua sampah- sampah berpunca dari rumah. Andainya terdapat satu sistem atau tong kitar semula yang direkabentuk secara praktikal, tindakan ini bakal mendidik rakyat, mengasingkan bahan kitar semula dari rumah lagi.

Selain itu, saya ingin menyarankan agar pihak berkenaan menganjurkan pertandingan rekabentuk tong kitar semula ini kepada tiga golongan sasar iaitu: professional (arkitek, interior designer, industrial designer, speacialist), pelajar (terdiri daripada pelajar-pelajar arkitek, interior designer, industrial designer, pertukangan) dan juga golongan rakyat biasa.

Ini kerana gabungan ketiga-tiga idea golongan ini, bakal menghasilkan satu prototaip tong kitar semula yang lebih praktikal.

Mungkin ada pihak menganggap cadangan ini agak remeh dan membosankan. Tetapi cuba kita lihat berapa banyak wang kerajaan dibelanjakan untuk menjayakan kempen kitar semula selama ini. Berjayakah kempen tersebut? Saya juga berharap kerajaan dapat menggubal satu undang-undang mewajibkan penggunaan tong kitar semula di setiap rumah.

Selain itu pihak kementerian juga perlu menjalankan kempen yang berterusan iaitu, memberikan tong atau plastik kitar semula yang mempunyai kod warna yang berbeza secara percuma, bagi mendidik rakyat Malaysia.

Walaupun, perkara ini remeh atau kecil tetapi bayangkan bagaimana impak positifnya terhadap alat sekitar kita (tidak perlu merawat sungai, tidak perlukan tapak pelupusan yang banyak).

Sedarlah, 14 tahun lagi negara kita akan mencapai status negara maju, jika persekitaran di dalam negara masih tidak dapat diuruskan dengan baik, alangkah ruginya kita. Saya berharap kerajaan melihat contoh dari Australia di daerah Fremantle di mana syarikat swasta yang menguruskan proses kitar semula, bergabung tenaga pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Langkah itu memberikan pulangan yang menguntungkan kepada kedua-dua pihak.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.