Most Read
Most Commented
Read more like this

Merujuk kepada kenyataan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang mengatakan tindakan kerajaan PAS Kelantan menghukum wanita berpakaian menjolok mata di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) akan merugikan kerajaan dan rakyat negeri itu, saya mahu bertanya, apakah kerugian yang mungkin ditanggung oleh rakyat negeri ini jika undang-undang tersebut dikuatkuasakan? Adakah kerana samannya atau apa?

Guan Eng, sedar atau tidak masalah rogol semakin menjadi-jadi di negara ini, dan Kelantan juga tidak dapat lari dalam isu ini. Apa tindakan Guan Eng dalam menangani isu ini? Melihat keadaan yang parah ini, saya rasa inilah tujuan utama peraturan ini dikuatkuasakan.

Dakwaan Guan Eng yang mengatakan tindakan MPKB kurang bijak dan boleh menjejaskan ekonomi juga boleh dipertikaikan. Ini kerana, para pelabur biasanya akan melihat kepada keamanan, ketenteraman dan keharmonian sesuatu tempat. Mana mungkin pelabur ingin melabur di sesuatu tempat, jika kawasan tersebut dipenuhi gejala-gejala tidak bermoral. Melainkan pelabur-pelabur tersebut terlibat dalam aktiviti perjudian atau sebagainya.

Saya juga kurang bersetuju dengan kenyataan Guan Eng yang mengatakan penguatkuasaan ini akan merugikan PAS. Tindakan kerajaan PAS bukan sahaja ingin menjaga kepentingan politik, malah menjaga kemakmuran di negeri yang ditadbir. Sampai bila kita ingin melayan gejala sosial tanpa ada sekatan dan undang-undang yang tegas. Malah jika gejala sosial semakin parah, bukan sahaja ekonomi akan terjejas malah politik PAS juga akan merudum.

Sepatutnya Guan Eng yang terkenal dengan sikap keprihatinannya terhadap rakyat menjadi penyokong nombor satu kepada penguatkuasaan ini. Ketepikan pemikiran negatif sedemikian.

Setuju atau tidak antara penyebab berlakunya kes rogol ialah pendedahan tubuh yang melampau di kalangan wanita. Adakah Guan Eng suka melihat wanita mendedahkan tubuh yang pastinya mengiurkan lelaki yang normal.

InsyaAllah, peraturan pakaian sopan di kalangan wanita samada kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam, sedikit sebanyak dapat mengawal gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang ini.

Apa faedahnya jika pemerintahan PAS dilihat sama seperti dengan pemerintahan Umno. Inilah beza pemerintahan PAS dengan Umno, yang ingin menjaga masyarakat Islam dan juga bukan Islam. Apa guna kita hanya menjaga keselamatan masyarakat Islam, sedangkan masyarakat bukan Islam teraniaya.

Sanggupkah Guan Eng melihat kes-kes rogol hanya terjadi terhadap masyarakat bukan Islam? Pastinya tidak.

Akhir kalam, diharapkan Guan Eng selaku orang yang terpuji dalam menangani masalah masyarakat, memahami apa tujuan penguatkuasaan ini. Jangan hanya kerana ingin mendapat sokongan murahan, prinsip diabaikan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS