Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Bagi pihak Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM), saya ingin menyatakan ucapan belasungkawa sedalam-dalamnya atas pemergian Allahyarham Profesor Datuk Dr Syed Hussein Alatas pada Jan 23, 2007 malam di Kuala Lumpur. Pemergian beliau adalah satu kerugian yang besar kepada keluarganya, kepada negara dan komuniti ilmuan Malaysia khususnya dan kepada dunia kesarjanaan sains sosial antarabangsa umumnya. Kami para komuniti ilmuan sains sosial dalam dan luar universiti di Malaysia amat terkejut dan berdukacita kerananya.

Profesor Alatas ialah seorang tokoh intelektual awam, sarjana, dan pemikir ulung yang sukar ditandingi. Beliau antara tokoh angkatan lama yang telah mempelopori dan mengasaskan perkembangan ilmu sosial khususnya sosiologi di Malaysia sejak pertengahan 1950-an sebelum Merdeka dan meneruskan usaha gigih mengembangkan ilmu tersebut sehingga akhir hayat beliau. Kewibawaan beliau sebagai seorang ilmuan, intelektual awam dan pemikir tersohor memang terserlah dan diiktiraf sejak awal lagi. Beliau memperoleh ijazah Doktorandus pada 1956 dan PhD pada 1963, kedua-duanya daripada Universiti Amsterdam, Belanda. Setelah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka antara 1958 hingga 1960, beliau menceburi bidang akademik pada 1960-an sebagai pensyarah dan ketua jurusan budaya di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya antara 1964 hingga 1967.

Kerjaya akademik beliau meningkat dengan pesat apabila diangkat sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura mulai 1967 hingga 1988. Apabila Profesor Diraja Ungku Aziz bersara sebagai Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Alatas telah mengisi jawatan itu dari 1988 sehingga 1991. Selepas satu masa, beliau berkhidmat pula di Universiti Kebangsaan Malaysia selama kira-kira 10 tahun sejak 1995, mula-mula di Pusat Pengajian Umum, kemudian di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, dan terakhir di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) sebagai Profesor dan Felo Utama.

Profesor Alatas ialah seorang sarjana dan pengarang yang prolifik dan berbobot yang pemikiran dan karyanya mempunyai kepentingan universal. Beliau telah menghasilkan banyak buku dan artikel dalam jurnal antarabangsa serta makalah dalam akhbar tempatan. Penulisan beliau meliputi banyak bidang, antaranya pembangunan dan pemodenan, politik dan rasuah, intelektual negara membangun, pemikiran masyarakat bekas tanah jajahan, serta persoalan umat Islam menangani pemodenan. Antara buku beliau yang penting dan sudah menjadi klasik ialah, Modernization and Social Change in Southeast Asia . Buku ini yang terbit pada 1972 membahas secara kritis pemikiran ahli teori Barat tentang pemodenan dan pembangunan di mana beliau menyanggah konsep pemodenan sebagai pembaratan. Buku The Myth of the Lazy Native , yang pertama kali terbit pada tahun 1977, ialah sebuah karya besar yang mendedahkan bagaimana kolonialisme Eropah telah mencipta mitos peribumi malas. Karya ini dianggap oleh Edward Said sebagai 'teramat asli' yang telah menginspirasikan beliau sendiri untuk menghasilkan karyanya mengkritik Orientalisme.

Karya Profesor Alatas tentang intelektual di negara membangun membezakan dengan jelas antara intelijensia yang mempunyai kelulusan formal dengan intelektual yang mempunyai daya pemikiran tinggi dan kritis membahas persoalan masyarakat. Serangkaian karya beliau mengenai persoalan rasuah di negara membangun sentiasa dirujuk sebagai bahan yang amat penting dalam bidang kajian rasuah dan bagaimana membanterasnya. Dengan bahasa kiasan yang tajam, beliau pernah mengatakan bahawa dalam usaha membanteras kanser masyarakat ini, kita perlu membangkitkan kebencian dan amarah rakyat kepadanya agar kita dapat menyeretkannya keluar daripada lorong-lorong gelap supaya tidak ada lagi tempat bagi perasuah menyorokkan diri.

Tentang persoalan pemikiran masyarakat, Profesor Alatas telah mencipta konsep 'the captive mind' atau 'watak tertawan' yang bermaksud bagaimana pemikiran atau minda anak tanah jajahan sudah ditawan oleh cara pemikiran bekas penjajah sehingga pemikiran itu tidak lagi mempunyai keaslian. Dalam bidang pemikiran masyarakat inilah beliau selalu bertarung secara terbuka dalam media dan medan-medan lain melawan kejumudan atau apa yang beliau istilahkan sebagai 'bebalisme'. Sementara di satu pihak beliau dengan tegas mengkritik pandangan Orientalisme terhadap masyarakat tanah jajahan khususnya masyarakat Melayu, beliau juga dengan gigih berjuang untuk mengikis kejumudan pemikiran sebahagian masyarakat Melayu yang tahyul dan juga yang menafsirkan Islam secara sempit dan harfiah. Usaha beliau ini amat penting dalam membuka minda tentang bagaimana masyarakat Melayu-Islam harus maju untuk berdepan dengan arus pemodenan pada abad ke-21 ini.

Sumbangan Profesor Alatas yang cukup besar di bidang ilmu dan pemikiran sosial serta di medan perdebatan awam menunjukkan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seorang intelektual dan sarjana yang asli dan mandiri yang diiktiraf di dalam negeri dan di peringkat antarabangsa. Hal ini jelas diakui oleh tokoh-tokoh antarabangsa sezaman dengannya. Meminjam kata-kata Profesor Hans-Dieter Evers, seorang tokoh sosiologi terkemuka dari Jerman, "Melalui pelbagai karya dan kuliahnya (selama setengah abad lebih ini), boleh dikatakan Profesor Alatas telah mewujudkan satu aliran pemikiran sosiologi yang tersendiri di rantau ini."

Hubungan kami dalam Persatuan Sains Sosial Malaysia dengan Profesor Alatas memang amat rapat. Kami menganggap beliau sebagai mercusuar intelektual yang sinarnya terus bergemerlapan sekalipun beliau sudah pergi. Dunia intelektual dan kesarjanaan Malaysia telah kehilangan sebutir bintang di ufuk kesarjanaan yang luas tidak bertepi. Namun pemikiran beliau yang bernas dan kritis serta teladan intelektual yang mandiri dan amat berharga itu akan berada bersama-sama kita untuk menginspirasikan kita semua.

Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh beliau. Al Fatihah.

Penulis adalah Presiden, Persatuan Sains Sosial Malaysia .

ADS