Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya telah menghadiri program Biro Tata Negara (BTN) anjuran Biro Tata Negara Cawangan Wilayah Persekutuan dan Bahagian Pembangunan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 25 Februari 2007. Ia diadakan khusus untuk mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Sememangnya objektif program ini adalah baik untuk membina jati diri mahasiswa dan wajar diwajibkan kepada seluruh mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Saya pada mulanya begitu berminat menghadiri program tersebut untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, khususnya dalam diri saya dan umumnya di kalangan mahasiswa di kampus.

Pada mulanya, slot yang bertajuk 'Ancaman Keselamatan Dalam Negara' yang disampaikan oleh Encik Hamim B Ahmad diisi dengan baik dan lancar dan seluruh mahasiswa memberikan tumpuan mendengar ceramah yang disampaikan. Pada slot tersebut, pelbagai informasi menarik telah disampaikan, khususnya berkaitan situasi keselamatan di Malaysia.

Kemudian, program seterusnya diisi dengan slot kedua yang bertajuk 'Pendidikan Politik' yang dikongsi dengan baik oleh penceramah. Dalam slot tersebut, mahasiswa didedahkan kepada pelbagai perkara penting, lebih-lebih lagi mengenai hak istimewa orang Melayu, perjanjian Inggeris dengan orang bukan Melayu, prinsip jus soli, peristiwa 13 Mei dan sebagainya.

Bagi saya, slot seumpama ini harus diteruskan bagi memastikan mahasiswa Melayu diberikan pendedahan berkenaan dengan kepentingan kita dalam mempertahankan hak bumiputra demi generasi Malaysia pada masa akan datang.

Akan tetapi, pada slot yang ketiga, iaitu pada jam 2.30 petang, saya amat terkilan kerana pengisian yang sepatutnya disampaikan untuk memastikan mahasiswa disemat dengan sifat cintakan negara, tidak berlaku. Sebaliknya, slot yang disampaikan oleh Naib Yang DiPertua MPPUPM 2005/2006 Saudara Sulhairil Hafiz Suliman itu, telah diambil kesempatan oleh penyampai untuk menanam doktrin anti-demokrasi di kalangan masyarakat kampus UIAM.

Slot tersebut juga telah dimanipulasikan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk memastikan mahasiswa membenci pertubuhan kebajikan mahasiswa lain seperti Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Food Not Bombs (FNB), Karisma, dan sebagainya, dengan mendakwa, pertubuhan tersebut "haram, ganas dan menggugat ketenteraman dan keselamatan negara".

Saya amat terkejut apabila melihat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut disenaraihitamkan sebagai pertubuhan haram, sedangkan, menurut Jabatan Pendaftaran (ROS), PKPIM adalah sebuah pertubuhan pelajar yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang yang nombor pendaftarannya adalah 1569.

PKPIM juga telah didaftarkan sebagai pertubuhan pelajar yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diakui sendiri oleh mantan Presiden MBM, yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Khir Toyo.

Seluruh mahasiswa yang hadir ketika itu tidak berpuas hati kerana mendakwa segala fakta yang disampaikan oleh beliau tidak benar dan pengisian slot yang dibuat oleh beliau lari daripada objektif sebenar BTN diadakan.

Tidak hairanlah mengapa penceramah telah menjadi sasaran pelbagai soalan dari mahasiswa, khususnya tentang objektif sebenar slot tersebut. Ekoran pelbagai persoalan yang dikemukakan itu, slot beliau yang pada asalnya dijadualkan tamat jam 4.30 petang, terpaksa dihabiskan lebih awal di sekitar jam 4 petang.

Saya mendesak agar mereka yang tidak bertanggungjawab mendakwa PKPIM sebagai pertubuhan haram supaya menarik balik tuduhan tersebut kerana ini merupakan satu penghinaan kepada undang-undang Malaysia, memandangkan PKPIM adalah pertubuhan yang berdaftar dan sah disisi undang-undang.

Saya sememangnya menyokong penuh program Biro Tata Negara ini diteruskan, tetapi pelaksanaannya perlu berlandaskan kepada norma-norma positif dan betul, tanpa terdapat sebarang unsur fitnah menfitnah antara satu sama lain dan memburukkan nama baik serta imej mahasiswa.

Oleh yang demikian, saya amat berharap agar pelaksanaan program BTN dapat dikaji semula bagi memastikan objektif sebenar untuk membina jatidiri dan memupuk rasa tanggungjawab dan cintakan negara di kalangan mahasiswa tercapai.

Penulis mewakili Exco Penerangan dan Perhubungan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) & Mahasiswa Undang-undang UIAM.

ADS