Sebelum kita boleh melakukan sebarang pendakwaan terhadap sesiapa atas "cubaan membunuh " maka kita perlu tahu motif pelakuaan seseorang itu. Apakah motif Tian Chua untuk "cuba membunuh" seseorang pekerja yang tidak berdosa? Sepatutnya sasarannya adalah pihak pemaju, pihak polis atau anggota Rela.
Jika kita tidak dapat mengenalpasti adanya permusuhan antara pekerja tersebut dengan Tian, maka kita juga tidak dapat membuktikan yang Tian hendak membunuhnya. Kalau betul Tian hendak membunuhnya, maka ke mana sahaja orang itu berlari atau cuba mengelakkan diri, Tian akan terus memandu mengikutinya dan melanggarnya.
Dakwaan yang sepatutnya ialah merosakkan harta benda awam ataupun menggangu pihak polis menjalankan tugas mereka. Dakwaan ini lebih logik dan rasional.
Dakwaan cubaan membunuh juga ada dua konteks yang berbeza. Yang pertama dari segi kecerdasan minda iaitu "conscious" dan kedua pula dalam keadaan kurang sedar ataupun separa sedar. Kalau Tian berada dalam keadaan sedar, maka dia tidak akan merempuh dengan keretanya. Apakah kita begitu bodoh sehingga ingin merosakkan kereta sendiri? Bukannya boleh tuntut bayaran insurans kalau kereta rosak.
Oleh disebabkan cintanya terhadap penduduk yang papa kedana, maka Tian hilang kewarasan. Dalam keadaan sedemikian, kalaulah berlaku sebarang kecederaan ataupun kematian, maka itu hanya merupakan sesuatu kemalangan kerana Tian sudah berada dalam keadaan kurang sedar.
Kes ini masih dalam pertikaian dan perintah mahkamah hanya membenarkan pihak pemaju merobohkan bangunan pada 10 Mac. Walaupun pihak pemaju telah mendapatkan kebenaran Mahkamah secara senyap-senyap, tetapi mereka seharusnya memaklumkan kepada penduduk terlebih dahulu.
Kalau ada kebenaran daripada mahkamah pun, kes ini belum berakhir dan penduduk masih ada hak mereka untuk merayu di mahkamah. Pihak yang harus diambil tindakan ialah anggota Rela, pemaju, polis dan pekerja yang menghina mahkamah.
Kita bukannya tidak membenarkan pembangunan tetapi sesuatu pembangunan itu harus dilakukan dengan cara yang betul. Bincanglah dahulu baik-baik dengan rakyat jelata yang miskin. Kalaulah kita dapat untung berjuta-juta dalam pembangunan kita dengan merobohkan tempat kediaman mereka, maka berilah sedikit kepada mereka untuk meneruskan hidup. Jangan mengganas, jangan menipu, jangan menggugut, dan jangan memaksa.
