Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Izinkan saya memulakan bicara dengan mengucapkan 'tahniah' di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 28 April lalu.

Namun sedarkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tahap demokrasi di negara kita semakin parah? Semakin pahit ubat demokrasi yang dirasai di tekak pihak pembangkang selepas disesakkan nafas mereka, angkara budak-budak Datuk Seri juga.

Untuk membincangkan tentang kemajuan negara dan memerangi secara menyeluruh segala kemelesetan akhlak di kalangan pemimpin politik dan kerajaan, termasuklah najis rasuah, maka Dato' Seri kena akur bahawa Dato' Seri perlu kepada pembangkang kerana mereka juga adalah rakyat Dato' Seri!

Mengambil kira pilihanraya umum 2004 yang menyaksikan Dato' Seri berada di kemuncak karier Dato' Seri , BN mendapat undi popular sebanyak 63.9 peratus tidak sampaipun dua pertiga. Ini bermakna mahkamah rakyat masih belum dikuasai sepenuhnya oleh Dato' Seri!

Itu pun belum mengambil kira segala sumpah seranah pembangkang ke atas pihak yang mencemari proses pengundian, yang akhirnya menyaksikan suara itu tidak lebih daripada gema yang hilang dalam vakum kehancuran demokrasi.

Maaf Dato' Seri sekiranya saya berfikiran begini. Tetapi saya menganggap perlunya pembangkang untuk memperbetulkan pihak yang diberi amanah mengendalikan urusan negara seperti perlunya seorang suami kepada seorang isteri. Untuk negara kita maju, beranak-pinak dengan pertumbuhan keluarga yang sihat, seorang isteri perlu dilayan sebagai seorang isteri! Akhirnya, anak-anak jua yang menikmati kebaikan daripada hubungan yang meriah dan dihormati ini.

Andai isteri tiada, pilu itu terlalu sukar untuk difahami melainkan jiwa yang merasai begitulah juga selayaknya yang perlu ada kepada jiwa pihak pemerintah. Hatta, kalau ada istei sekalipun, cukupkah dengan sekadar sindir-menyindir atau mencuit-cuit dari jauh?

Dekatkan dan wujudkan suasana yang harmoni. Kalau sampai masa pembangkang perlu berada di atas maka berikanlah ruang itu wahai Dato' Seri! Jangan biarkan hubungan itu rosak yang merugikan semua! Biarpun telinga mungkin tidak mendengar rungutan demi rungutan dari dalam dan luar rumah, ianya pasti wujud sekiranya hubungan itu tempang.

Dato' Seri mengajak rakyat untuk berkhidmat kepada negara dengan sepenuh hati, bukan bekerja untuk Dato' Seri. Maka pulangkan hak mereka kerana jumlah 35 - 40 peratus itu bukan sedikit. Mana mungkin hati anak-anak yang tidak tenteram, apabila demokrasi dipijak-pijak mampu, diterjemahkan dengan maksima usaha yang produktif dan berinovatif?

Diharapkan Dato' Seri tidaklah menjadi seorang pemimpin yang hanya peka dengan siling yang bocor, tetapi sistem dalam negara yang tempang dan bocor di sani-sini juga perlu diperbetulkan. Pulihkan demokrasi dan biarkan jiwa setiap rakyat merdeka dengan sesungguh kata sesedap rasa.

Saya yakin hanya formula ini yang mampu digunapakai dalam usaha murni Dato' Seri bagi memperbetulkan negara untuk membawa rakyat ke jalan yang diredhai-NYA sekaligus menempa sejarah sebagai negarawan yang dihormati oleh kawan dan lawan. Selamat Berjuang Dato' Seri!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS