Saya merujuk kepada berita malaysiakini Protest held over MPS' dog-hunt .
Amat mengecewakan dan menjijikkan tindakan pihak Majlis Perbandaran Selayang. Pertandingan seperti ini tidak menunjukkan sikap Malaysia yang selalu dilaung-laungkan oleh perdana menteri yang kita hormati iaitu yang masyrakat Malaysia adalah masyarakat penyayang dan berperikemanusian. Ataupun sikap ini hanyalah untuk manusia sejagat sahaja?
Bolehkah MPS nyatakan apakah rasional yang terdapat di dalam menganjurkan pertandingan seperti ini? Apakah dosa haiwan-haiwan ini? Mengapakah mereka perlu dilayan sekejam ini? Adakah ini kerana ia adalah hanya anjing? Ia juga adalah ciptaan Tuhan dan saya ingin menyatakan yang hanya Dia berhak atas nyawa yang diciptaNya.
Dan apa yang amat mengecewakan dan mendukacitakan adalah mesej yang tekah diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang Tang See Hang semasa melancarkan pertandingan ini.
'Anyone who wishes to rear the dogs are welcome to pick them up, otherwise we would dispose of them through the council's own methods', mengikut laporan akhbar. Beginikah cara kita menyelesaikan sesuatu masalah yang kita hadapi?
Motto MPS adalah 'Selayangmesra' tetapi saya tidak dapat lihat apa yang 'mesra' dalam pertandingan sebegini. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya menyeru dan merayu kepada MPS agar membatalkan sahaja pertandingan yang tidak berperikemanusiaan ini kerana ia bukan sahaja menunjukkan rakyat Malaysia seperti manusia kejam malahan ia memburukkan lagi reputasi negara di mata dunia.
