Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ramadan adalah bulan paling suci dan mulia kerana al-Quran diwahyukan dalam bulan ini kepada junjungan besar Rasulullah SAW. Malah, dituntut menggunakan waktu sebanyak mungkin untuk beribadah, bermuhasabah dan membaca serta menghayati kandungan al-Quran.

Ia bertujuan membina kekuatan rohani dan mencapai darjah ketaqwaan serta taqarrub kepada Allah SWT. Berpuasa adalah untuk mengawal nafsu dan rangsangan negatif dalam diri seseorang Muslim.

Namun sejak akhir-akhir ini umat Islam semakin didorong untuk berbelanja dan menggunakan secara berlebihan sehingga ke tahap pembaziran sedangkan sumber ekonomi masyarakat Islam amat terbatas.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin terhadap keghairahan sesetengah pihak di negara ini yang sering mengambil kesempatan untuk mengkomersialkan Ramadan dengan mempromosi tabiat berbelanja secara boros dan membazir dalam kalangan masyarakat.

Ia bukan sahaja berlawanan dengan ajaran Islam, malah boleh menjejaskan iman seseorang Muslim. Sepertimana amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah yang kini menjadi satu gaya baru bagi warga kota tetapi merupakan satu pembaziran yang bercanggah dengan syarak.

Secara tradisinya masyarakat Islam lebih elok berbuka puasa di rumah bersama keluarga atau di masjid dan surau bersama ahli kariah. Namun, pada hari ini, di kota besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, ia sudah menjadi gaya yang popular dalam kalangan golongan elit untuk berbuka puasa di hotel.

Terdapat juga hotel dan restoran mewah yang turut mengiklankan berbuka puasa secara 'buffet' yang bersaing antara satu sama lain untuk merangsang nafsu pengguna. Dengan hidangan antara 50 hingga 70 jenis juadah yang berharga RM60 hingga RM80 seorang, masyarakat Islam diheret untuk berbelanja dengan berlebihan.

Ramadan adalah bulan yang diwajibkan umat Islam untuk berpuasa dan bukannya bulan untuk menjamu selera malah tuntutan berpuasa adalah untuk menimbulkan rasa keinsafan dan merasai nikmat kesusahan.

Berbukalah dengan cara yang sederhana dan tidak membazir serta melampaui batas yang ditetapkan oleh syarak. Untuk itu renungilah ayat 31 surah al-A'Raaf: 'Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih- lebihan'.

Ramadan sepatutnya menjadi bulan yang menimbulkan keinsafan kepada umat Islam supaya lebih berjimat cermat dan menginsafi bahawa masih ramai lagi insan yang perlu dibantu. Lupakah kita akan nasib anak-anak yatim, orang-orang tua dan ibu-ibu tunggal yang menjadi mangsa peperangan, bencana alam serta saudara seagama di Palestin, Iraq, Chechnya, Afghanistan, Patani, dan lain-lain tempat lagi.

Malangnya Ramadan dan Aidilfitri telah menjadi satu kesempatan untuk merangsang pengguna terutama sekali umat Islam yang gelojoh kepada tabiat penggunaan yang berlebihan.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh media elektronik yang nampaknya turut menyumbang kepada berkembangnya budaya hedonisme dan materialisme dalam bulan Ramadan yang mulia ini menerusi iklan yang agresif yang licik mempengaruhi minda, selera, dan nafsu penonton.

CAP sentiasa menekankan bahawa masyarakat yang bijaksana tidak akan membazir. Kenapakah wang hasil daripada titik peluh yang dicari dengan segala kepayahan begitu mudah dihabiskan ke arah sesuatu yang tidak memberi faedah dan pembaziran semata-mata?

Sehubungan itu, CAP menggesa supaya diharamkan iklan yang menggunakan Ramadan dan Aidilfitri untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan. Pihak pengusaha hotel dan restoran mewah tidak sepatutnya mempromosikan berbuka puasa secara 'buffet' yang menggalakkan kegelojohan, pemborosan, dan pembaziran.

Al-Quran telah memberi petunjuk dan nasihat kepada kita dengan maksud: 'Bahawa Tuhan tidak menyayangi mereka yang membazir dan hidup secara mewah. Hidup serba sederhana adalah tanda kepercayaan kepada Tuhan'.

Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

ADS