Dalam masa seminggu lagi setiap Instititut Pengajian Tinggi (IPT) akan mengadakan pilihan raya kampus. Dalam proses persedian menjelang pilihanraya ini telah berlaku kes-kes yang mencemar ketelusan dan bersihnya sesuatu pilihanraya kampus. Di Universiti Putra Malaysia berlaku beberapa kes yang cukup mengecewakan bagi sesi pilihanraya kampus pada hari ini.
Antaranya, terdapat mahasiswa yang di geledah biliknya kerana disangka bertanding pilihanraya. Terdapat juga mahasiswa yang dirampas komputer bimbit dan telefon bimbit kerana disyaki calon pilihanraya. Selain itu terdapat juga tindakan yang luarbiasa berlaku iaitu terdapat cat dicurahkan keatas motosikal ahli Persatuan Mahasiswa Islam UPM.
Keadaan ini seolah-olah menjelaskan betapa kritikalnya ketelusan dan keadilan pilihanraya kampus diwujudkan pada hari ini. Mahasiswa sudah tidak lagi bebas untuk bertanding. Apabila cuba bertanding dalam pilihanraya, pasti ada pihak yang akan mengugut untuk mengambil tindakan. Disamping itu, mahasiswa yang menjadi pengundi turut diugut dibuang kolej jika menyokong sekolompok mahasiswa.
Pihak Barisan Mahasiswa Bersatu (BMB) menggesa pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti-universiti mengambil tindakan pemulihan terhadap kelemahan sistem pilihanraya yang berlaku saban tahun ini. Ketidaktelusan dan sifat berat sebelah dalam pilihanraya kampus pada kali ini boleh menyebabkan perpecahan dikalangan mahasiswa dan secara tidak langsung akan mencemarkan nama universiti yang menjadi taman ilmu dan budi.
Akhirnya, Barisan Mahasiswa Bersatu turut menyeru agar tiada lagi sistem perlabelan untuk kumpulan-kumpulan mahasiswa seperti mana pilihanraya kampus sebelum ini. Tidak perlu lagi untuk kumpulan yang dikatakan 'pro aspirasi' dan 'pro pembangkang' kerana ianya boleh menyebabkan kekangan bagi mahasiswa yang ingin bertanding dan ingin menimba pengalaman kepimpinan sebagai wakil pelajar.
