Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kebelakangan ini, begitu banyak kejadian pecah rumah berlaku di daerah Rembau, Negeri Sembilan, sama ada pada siang ataupun pada malam hari. Rata-rata mangsa enggan atau keberatan untuk membuat laporan polis kerana ianya akan mengambil masa yang lama untuk pergi ke balai polis dan mereka juga bertanggapan pihak polis sukar menangkap penjenayah kecil seumpama itu.

Malah rumah ibu bapa saya sendiri di Kampung Bongek, Rembau juga turut dipecah masuk pencuri. Saya menyarankan kepada ayah saya supaya membuat laporan polis. Tetapi maklumlah pada usianya 70 tahun, dia sudah tidak larat hendak turun naik balai untuk membuat laporan.

Justeru, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil pendekatan lebih realistik, yang lebih mesra rakyat untuk menerima aduan awam berhubung kejadian jenayah. Setelah lama saya menggunakan perkhidmatan online agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri berkaitan dengan aduan awam, saya dapati sistem online Majlis Perbandaran Seremban (MPS) adalah yang terbaik dan harus diberi pujian.

Setiap aduan yang dikemukakan kepada MPS berkaitan dengan perkhidmatan mereka, mendapat maklumbalas yang cepat dan tepat. Setiap aduan akan diberi jawapan - sama ada dalam perhatian, dalam tindakan atau tidak perlu diambil tindakan. Malah mereka akan menghantar anggota untuk menyiasat aduan tersebut. Juga pengadu boleh menyemak status aduan dari masa ke semasa.

Sekiranya PDRM dapat melaksanakan sistem aduan orang awam sepertimana yang dilaksanakan oleh MPS, secara tidak langsung, ia akan menjadi masyarakat lebih prihatin terhadap usaha pencegahan jenayah. Berbeza dengan Rakan Cop, sistem aduan online memudahkan kedua belah pihak - PDRM dan orang awam - untuk memantau keadaan keselamatan di kawasan mereka. Ianya akan melatih orang awam memberikan maklumat yang cepat dan tepat untuk mencegah jenayah.

Sebagai satu langkah ke hadapan, setiap kenderaan peronda polis sebaiknya dilengkapkan dengan komputer online bagi memudahkan orang ramai membuat aduan sekiranya mereka tiada kemudahan internet. Perkembangan teknologi terkini haruslah digunakan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman damai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS