Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Daripada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media baru-baru ini, mereka seperti mengesahkan kerajaannya melarang dan mengharamkan sama sekali demonstrasi jalanan.

Kenyataan itu mereka buat ekoran dua demonstrasi jalanan di ibukota baru-baru ini, tanpa mendapat permit polis, yang dianjurkan oleh Bersih dan Hindraf.

Kita sebagai rakyat di negara ini jadi keliru dan tidak jelas apa yang mereka maksudkan dengan kenyataannya tersebut. Adakah adakah ia membawa maksud semua demonstrasi jalanan dilarang atau hanya demonstrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis sahaja yang dilarang.

Mereka telah menghuraikannya dengan agak panjang lebar juga, dan memberitahu kepada rakyat kesan buruk dari demonstrasi jalanan kepada keselamatan dan ekonomi negara.

Mungkin ramai antara kita bersetuju dengan pandangan dan pendirian mereka berdua. Memang banyak buruk dari baik. Walaupun ada sesetengah orang berpendapat demonstrasi jalanan ini dibenarkan oleh amalan demokrasi, tetapi melihat kepada kesan buruknya, sudah cukup untuk menjadi hujah kepada kita bahawa ia bertentangan dengan prinsip demokrasi yang mengutamakan keamanan.

Asas demokrasi itu adalah untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan rakyat yang juga dipilih oleh rakyat, tanpa melalui pertumpahan darah. Tetapi kalau dalam amalan amalannya terdapat perkara-perkara yang boleh mendatangkan rusuhan, pergaduhan, pertumpahan darah, maka dengan sendirinya, amalan amalan itu bukan lagi selari dengan prinsip demokrasi.

Sebagai rakyat negara ini, kita mahu perdana menteri memaklumkan kepada kita dengan jelas supaya rakyat jelata tidak keliru. Apakah larangan kepada demonstrasi jalanan itu terbatas kepada semua demonstrasi jalanan atau hanya kepada demonstrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis sahaja.

Logiknya, kalaulah demonstrasi jalanan dilarang dan diharamkan, kenapa pula diperlukan permit polis apabila hendak mengadakannya. Benda yang yang haram sudah pasti salah dan tidak perlu kepada permit polis.

Kalaulah perdana menteri berpendirian bahawa demonstrasi jalanan dilarang dan diharamkan, jadi apa perlunya lagi kepada permit polis setiap kali hendak mengadakan demonstrasi jalanan.

Tetapi yang peliknya sebelum ini permit polis pernah dikeluarkan kepada demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menyokong kerajaan. Dan perdana menteri tidak pernah cuba pula melarang kumpulan-kumpulan tersebut daripada menganjurkannya.

Apakah perdana menteri mempunyai pegangan bahawa demonstrasi jalanan, walaupun memberi banyak kesan buruk, tetapi boleh dibenarkan jika dianjurkan oleh pertubuhan yang menyokong kerajaan.

Saya rasa untuk memberi keadilan kepada semua, perdana menteri harus bersikap adil dalam larangan ini. Kalau beliau telah mengatakan demonstrasi jalanan banyak bawa keburukan dan dilarang serta diharamkan, maka beliau perlu mengotakan kata-katanya itu kepada semua pihak dan rakyat, sama ada yang menyokong atau tidak menyokong kerajaan.

Sebenarnya demonstrasi jalanan bukanlah ciri-ciri yang perlu ada dalam amalan sesebuah negara demokrasi. Kerana negara yang benar-benar mengamalkan demokrasi, pasti akan memberi ruang yang luas untuk rakyatnya bersuara, media yang benar benar bebas, perjalanan pilihanraya yang adil dan telus. Kalau semua ciri-ciri ini dapat dipenuhi, tidak ada sebab kita memerlukan kepada dmonstrasi jalanan.

Baru-baru ini John Howard diturunkan dari jawatan Perdana Menteri Australia tanpa menumpahkan setitik darah. Howard menerimanya dengan lapang dada dan semua rakyat Australia amat berpuas hati dengan keputusan tersebut. Begitulah cantiknya sistem demokrasi, yang terbaik pasti dijamin menang.

Tetapi apabila prinsip demokrasi yang suci telah dicabul, dengan sendirinya ia akan mengundang kepada demonstrasi jalanan. Ini telahpun dibuktikan oleh peristiwa-peristiwa yang lalu.

Kita telah menyaksikan hanya beberapa bulan selepas parti pimpinan Thaksin Shinawatra menang besar dalam pilihanraya Thailand untuk penggal keduanya, beliau telah dijatuhkan oleh demonstrasi jalanan dan Thailand berakhir dengan pemerintahan tentera. Kalaulah pilihanraya berjalan secara adil dan telus tentulah tidak ada sebab untuk rakyatnya mengadakan demonstrasi jalanan.

Begitu juga dengan Presiden Suharto. Selang beberapa minggu selepas parti Golkar pimpinannya menyapu bersih pilihanaraya di Indonesia, beliau telah dijatuhkan melalui demonstrasi jalanan. Pada logiknya, kalaulah majoriti rakyat Indonesia benar-benar telah puas hati dengan pilihanraya itu, tidak mungkin suara 200 juta rakyatnya itu dapat dinafikan dengan mudah oleh pendemonstrasi jalanan.

Lama sebelum itu, kita juga menyaksikan bagaimana Shah Iran, seorang raja yang diktator yang menutup rapat suara rakyat, telah digulingkan menerusi demonstrasi jalanan.

Semua demonstrasi jalanan yang telah menjatuhkan kerajaan-kerajaan yang disebutkan tadi, tidak pernah sama sekali mendapat permit polis pun. Memang tidak perlu pun.

Memang sepatutnya demonstrasi jalanan diharamkan dan dilarang atas sebab apa pun, kerana ia bertentangan dengan prinsip demokrasi yang mengutamakan keamanan. Dan ia tidak sepatutnya dijadikan amalan dalam sistem demokrasi. Sebenarnya demonstrasi jalanan hanyalah merupakan gejala yang timbul bila berlaku pencabulan kepada demokrasi itu sendiri. Di waktu itu ada permit polis atau tidak sama saja.

ADS