Most Read
Most Commented
Read more like this

Umno merupakan institusi politik orang Melayu yang sudahpun membuktikan keberkesanannya dalam memecah kemunduran orang Melayu satu persatu. Cuma ada lagi agenda pemecahan kemunduran, sama ada yang bersifat ekonomi, minda, politik dan pendidikan yang perlu dipecahkan dan dibangunkan. Sudah seharusnya kenyataan setiausaha agung Umno yang dikeluarkan, perlu mewakili institusi dan lebih bersifat global.

Dalam keadaan Umno berdepan dengan pilihanraya umum ke-12, kenyataan berhubung politik Umno di Perlis adalah tidak dialu-alukan terutamanya di peringkat akar umbi. Biar ahli yang menentukan sama ada mereka semakin percaya ataupun tidak terhadap seseorang pemimpin itu. Bukannya dengan ada tangan atasan yang akan mencorakkan pola politik di Perlis.

Namun yang kita sedari ialah kenyataan setiausaha agung Umno itu sudahpun menjurus ke arah mengarahkan ke mana acuan politik Umno Perlis.

Bagi kita, selaku generasi muda, melihat perkara ini tidak ada 'substance' yang kuat untuk menghujahkan bahawa berlakunya kepincangan dalam Umno Perlis. Bukan taraf menteri atau setiausaha agung Umno untuk mencatur sebegitu remeh kenyataan terhadap kepimpinan individu dalam Umno dengan hujahan yang tidak kukuh.

Dengan alasan ada isteri cantik sebagai subjek tambahan untuk menjadi menteri besar adalah keterlaluan. Kenyataan seperti ini bukanlah sesuatu yang amat menarik untuk didengar dari seorang yang berjawatan setiausaha-agung Umno Malaysia (bukannya cawangan). Justeru, mungkin bukan Radzi Sheikh Ahmad untuk terus duduk di situ.

Adalah wajar bagi Radzi meletak jawatan sebagai setiausaha agung Umno ataupun beliau balik semula ke Perlis, bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan melihat sokongan rakyat terhadap beliau, sama ada mahukan beliau selaku menteri besar Perlis atau Shahidan Kassim ataupun Azmi Khalid. Kalau Chua Soi Lek boleh meletakkan jawatan atas kesilapan yang sudahpun membebankan parti, mengapa Radzi tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Jawatan setiausaha agung parti adalah suatu jawatan yang tinggi dalam parti. Persoalannya, adakah Radzi sudah mengambilkira pendirian parti apabila membuat kenyataan tersebut. Sekalipun tidak bersetuju dengan cara kepimpinan Shahidan, beliau wajar bersemuka dengan cara yang lain. Bukan dengan cara membuat kenyataan terbuka kepada media mengenai kedudukan politik Umno Perlis.

Radzi wajar melihat kembali kedudukannya sebagai pemegang amanah institusi parti, dan bukannya menyatakan secara membutakan mata dan mentulikan telinga demi kepentingan peribadi. Kenyataan balas Umno Perlis melalui Setiausahanya, Datuk Che Sulaiman Shapie, sudahpun menunjukkan percanggahan antara setiausaha agung Umno dan kepimpinan Umno negeri.

Jadi, suara siapakah yang dibawa oleh Radzi? Siapakah yang perlu berubah? Kedudukan menteri besar Perlis atau setiausaha agung Umno?

Biarkan pemilihan kepemimpinan Umno Perlis ditentukan oleh ahlinya. Jawatan tinggi dalam parti tidak memberikan lesen untuk sesuka hati membelakangkan institusi parti. Kiblat perjuangan Umno adalah prinsip parti itu sendiri yang harus ditegakkan dan bukannya kiblat cita-cita individu pimpinan di atas.

Ahli yang sebenarnya mempunyai hak mutlak untuk memilih pemimpin, sama ada terus di atas ataupun digantikan dengan yang lain, sama ada muka baru atau muka lama, tetapi mestilah yang masih relevan dan lebih cekap memikirkan tentang soal kemaslahatan rakyat dan bukannya soal lebih cekap untuk menilai isteri siapa yang lebih cantik.

Justeru, ahli mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju Umno Perlis. Arah tuju itulah yang dapat menjamin kepentingan ahli dan rakyat Perlis. Dan arah tuju itu juga yang akan menentukan survival Umno Perlis. Jika mahu suara Umno menjadi pembangkang pada masa mendatang, banyakkan lagi pemimpin seperti Radzi Sheikh Ahmad!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS