Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Apabila Kerajaan melantik Pos Malaysia sebagai wakil tunggal dalam Skim Pembelian Komputer KWSP, saya menyokong tindakan tersebut walaupun ketika itu suara-suara bantahan lebih nyaring dilaungkan. Pos Malaysia mempunyai rangkaian yang begitu meluas di semua ceruk negara yang dilihat akan memudahkan rakyat kebanyakan, khasnya yang dari luar bandar berurusan. Dan dengan pembelian secara pukal dari pembekal, ini menurunkan harga komputer sekaligus menguntungkan pembeli.

Namun jangkaan saya meleset.

Pertama, harga yang ditawarkan adalah lebih tinggi dari harga pasaran, kenaikan kira-kira 10 peratus. Sebagai contoh, saya memesan Apple iMac 350MHz yang berharga RM3,099 di pasaran akan tetapi Pos Malaysia meletakkan harga komputer yang sama spesifikasinya pada RM3,499; perbezaan RM400. Bayangkan kalau seribu belian dibuat dalam satu bulan (satu anggapan yang dirasakan jauh dari angka sebenar) maka Pos Malaysia akan meraih RM400,000 atau hampir setengah juta. Setahun, keuntungan yang didapati mencecah RM5 juta. Satu keuntungan yang begitu mudah, tanpa usaha, tanpa modal dan tanpa memikirkan hak rakyat, hak pembeli.

Kedua, dan yang amat memeranjatkan saya ialah Pos Malaysia menipu pembeli, tidak amanah dan menangguk di air keruh. Mungkin perkataan ini adalah keterlaluan tetapi ia memang benar. Dari pengalaman saya sendiri dan saya bukanlah dari kelompok yang membangkang membabi-buta tanpa usul periksa.

Saya memohon untuk membeli komputer peribadi melalui Skim KWSP dan borang yang telah lengkap diisi yang didapatkan dari cawangan Pos Malaysia dihantar pada pertengahan Januari lalu. Pada awal Februari, saya telah menerima surat pengesahan dari KWSP yang bertarikh 30 Januari 2001. Surat tersebut menyatakan bahawa permohonan saya telah diterima dan akan diproses segera. Jika saya tidak menerima jawapan dalam tempoh sebulan dari tarikh surat tersebut, pihak KWSP meminta saya menghubungi mereka melalui talian tele Khidmat Pelanggan KWSP 1-800-88-5977. Saya sedia maklum akan kesibukan KWSP melayani permohonan yang dikira begitu banyak dari seluruh negara. Jadi untuk menunggu selama sebulan bukanlah satu tempoh yang lama.

Dan pada pertengahan 15 Februari 2001 saya telah menerima surat dari Pos Malaysia yang meminta saya mengisi satu lagi borang yang disertakan bersama walaupun saya telah berbuat demikian pada mula-mula memohon dahulu. Dan pada 26 Februari 2001 saya ke Pos Malaysia Cawangan Jalan Tuanku Abd.Rahman untuk mengisi borang yang baru.

Dua hari selepas itu mereka menelefon saya menyatakan model komputer yang dipesan telah tiada dan digantikan dengan model baru. Walaupun pakej terbaru itu lebih baik dengan pemberian percuma pencetak, akan tetapi Pos Malaysia sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal demi memudahkan tugas. Katalog yang disediakan sepatutnya lebih terkini.

Dan saya diberitahu oleh kakitangan Pos Malaysia tersebut bahawa terlalu banyak pesanan diterima dan mereka belum menerima waran cek dari pihak KWSP! Komputer Apple iMac saya mungkin hanya dapat mereka hantar dalam masa dua minggu; paling awal. Dan apabila saya tidak mendapat berita dari Pos Malaysia setelah hampir empat minggu berlalu, saya menjadi musykil. Yang pelik dan hairan ialah pihak Pos Malaysia tidak memberikan apa-apa surat pengesahan pesanan mahukan nombor telefon untuk sebarang tindakan susulan. Mereka yang mengendalikannya pun kelihatan tidak yakin dan bertanya sesama rakan apabila saya ajukan beberapa soalan. Mereka kabur.

Dan ini membuatkan saya tiada pilihan, hanya talian Tele Khidmat Pelanggan KWSP harapan saya. Dan jawapan yang saya terima membuatkan saya bingung. Sukar untuk mempercayainya. Menurut KWSP, waran cek saya bernombor 0164136 telahpun disiap dan dihantar ke Pos Malaysia Cawangan Jalan Tuanku Abd.Rahman pada 2 Februari 2001 dan telahpun ditunaikan pada 9 Februari 2001. Dan ini adalah dua minggu lebih atau 18 hari dari tarikh saya menghantar permohonan sekali lagi ke Pos Malaysia dan 20 hari selepas pihak Pos Malaysia memberitahu bahawa mereka masih menunggu waran cek dari KWSP!

Dan 21 Mac 2001, genaplah 41 hari pihak Pos Malaysia berdiam diri dan memenggap wang pembelian komputer saya.

Apa yang telah berlaku? Apakah Pos Malaysia mahukan keuntungan cepat dengan mengaut keuntungan dari faedah simpanan tetap? Atau ini merupakan kelemahan pengurusan Pos Malaysia?. Atau Odasaja Sdn Bhd ('order' saja) turut terlibat?. Walau apapun yang mungkin menjadi jawapannya, tindakan Pos Malaysia ini adalah keterlaluan.

Amat sedih sekali, Pos Malaysia yang dipertanggungjawabkan dalam usaha kerajaan melaksanakan kempen 'Satu Rumah Satu Komputer' dan keizinan KWSP dalam menggubal skim pembelian komputer ini. Adalah diharapkan pihak Pos Malaysia mengkaji semua permasalahan ini dan kembali kepada Piagam Pelanggan yang kini nampaknya sekadar menjadi hiasan sahaja.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS