Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa kerajaan segera meneliti persoalan sekuriti makanan yang kini menjadi isu serius seluruh dunia sebagai isu utama - bukan sahaja dari sudut bekalan akan tetapi juga dari sudut akses kepada makanan dan seterusnya melibatkan soal kedaulatan negara.
Kenaikan harga beras sekarang dan ia dijangka diekori dengan kenaikan harga makanan asasi yang lain memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah.
Kesan kenaikan harga makanan sedunia yang sukar dibendung kini bukan sahaja boleh merebak kepada masalah ekonomi, malah boleh meletuskan ledakan sosial dan politik yang tidak boleh dikawal.
Jika pergantungan makanan negara daripada import yang ketika ini masih melebihi RM12 bilion setahun tidak dikurangkan seminimum mungkin, negara ini akan terdedah kepada kehilangan kedaulatan makanannya akibat terpaksa bergantung kepada ehsan negara luar.
Ketika ini syarikat-syarikat transnasional dan multinasional yang menguasai sebahagian besar input pertanian seperti baja, benih, jentera pertanian, makanan ternakan dan racun dapat menentukan kehendaknya ke atas negara ini akibat kebergantungan Malaysia kepada import bahan-bahan tersebut.
Bukan sahaja kuasa petani sangat kecil di negara ini - akibat sistem yang lebih mengutamakan perladangan besar - malah sistem pertanian itu sendiri ditentukan dan lebih menguntungkan syarikat multinasional.
Teknolgi, sistem pemasaran dan mekanisme simpanan dan penghantaran juga dikuasai oleh syarikat pertanian konglomerat luar dan dalam negara.
Ini sahaja cukup untuk mengecilkan kuasa rundingan sesebuah negara apabila rakyatnya sudah terdesak untuk mendapatkan makanan dari luar yang ditentukan oleh syarikat-syarikat besar itu.
Lantaran itu Teras menggesa pihak kerajaan pusat dan negeri agar segera mengadakan perbincangan untuk menganalisis kesan krisis yang bakal dihadapi dengan mengantisipasikan kemungkinan- kemungkinan yang boleh berlaku.
Perbincangan itu seharusnya dapat mengatur langkah segera supaya bekalan dan pengeluaran makanan di negara ini dapat dijamin kestabilannya.
Kami menggesa agar semua faktor - yang ada dalam kuasa dan keupayaan pihak kerajaan untuk mengawalnya - hendaklah dilakukan seperti tidak membenarkan tanah pertanian diambil dan ditukar untuk pembangunan, memastikan sistem pengairan diuruskan dengan baik untuk pertanian, kawasan tadahan air tidak dimusnahkan, kawasan bakau yang menjadi kawasan pembiakan benih hidupan laut dikawal dengan ketat serta semua tanah terbiar dihidupkan untuk pertanian.
Sesungguhnya kami berpendapat bahawa jika pihak kerajaan tidak mengendahkan isu keselamatan jaminan makanan ini, kami khuatir akan berlaku situasi yang lebih parah yang akan menggugat kedaulatan negara.
Mohd Azmi Abdul Hamid adalah presiden Teras Pengupayaan Melayu
