Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihan raya umum ke-12 sudah berlalu, namun ia masih diperkatakan. Setiap parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang kini berdepan dengan cabaran baru, melaksanakan janji dan meneruskan pembangunan rakyat dan negara seperti yang dilaungkan sebelum ini.

Sama ada ia bakal dilaksanakan atau sekadar janji manis orang politik, kita tunggu dan lihat dalam tempoh sepenggal ini. Tidak ada apa-apa yang perlu dirunsingkan, jika pembangkang gagal, peralihan undi akan berlaku dan BN akan mendapat semula mandat mereka. Begitulah sebaliknya.

Mengenai keputusan undi yang disifatkan sebagai ‘mesej rakyat’, ia sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka. Anggaplah ia sebagai demokraksi rakyat di negara ini menyalurkan hak dan suara mereka. Seharusnya pemimpin-pemimpin kerajaan, yang kalah teruk dalam piliharanya kali ini, menerimanya dengan hati yang tenang.

Namun, sebaliknya ada juga segelintir pemimpin yang menyalahkan rakyat dengan beranggapan mereka tidak bijak mengundi.

Kenyataan ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyelar pengundi kerana memilih calon DAP dalam kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Bandar Hilir, Kesidang (ketiga-tiganya dalam parlimen Kota Melaka), Ayer Keroh dan Bachang (parlimen Bukit Katil) sebagai tidak matang.

Kenyataan itu melambangkan kedangkalan beliau sendiri sebagai pemimpin yang egois.

Saya kira kenyataan tersebut tidak adil kerana ketua menteri sewenang-wenangnya menyifatkan pengundi tidak matang, sedangkan beliau tahu bahawa hak mengundi adalah hak masing-masing, tidak boleh dipaksa sama sekali.

Dan jika inilah yang dimahukan rakyat, kenapa mereka mesti dipersalahkan?

Beliau sepatutnya bermuhasabah dengan mencari kekurangan dan kelemahan sendiri bukan menunding jari menyalahkan rakyat.

Jika beginilah sikap yang ditunjukkan beliau, mungkin pilihanraya akan datang, beliau akan terus jatuh terduduk.

Mungkin benar, bekas wakil rakyat terdahulu merupakan calon terbaik tetapi dalam masa yang sama, banyak juga faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon yang dikatakan hebat itu.

Rakyat mahukan angin perubahan, mahukan pendekatan baru dan pemimpin baru.

Prihatin terhadap masa depan rakyat bukan bermakna melambakkan mereka dengan pembangunan besar-besaran; bukan juga dengan kemajuan infrastruktur atau persekitaran yang moden dan mewah.

Sebaliknya, prihatin yang dimaksudkan termasuk juga keperluan rohaniah, pendekatan silaturahim serta bijak memenangi hati dan perasaan rakyat.

Barangkali rakyat muak dan jelek, kerana Mohd Ali dan pemimpin-pemimpin di Melaka ini khususnya, jarang menghiraukan perasaan orang bawahan.

Mereka lebih berkuasa dan bertindak dengan sesuka hati, sedangkan ada beberapa perkara yang dilakukan pemimpin itu, pada pandangan rakyat marhain, sesutu yang menyakitkan.

Contohnya pembaziran semasa menyambut tahun baru dan ulang tahun kemerdekaaan negara (tahun lalu) dengan memasang lampu-lampu berkelipan di sekitar Bandar Raya Melaka, pembinaan semula Kota Portugis yang menelan belanja RM12.9 juta, peniaga kraftangan di bazar Heritage yang dianaktirikan, serta membina pelbagai pasar raya besar seperti Tesco, Giant dan Carrefour dan yang terbaru Mydin 24 jam.

Mungkin ketua menteri terlepas pandang masalah peniaga-peniaga kecil ini, tetapi kesengsaraan yang ditanggung akibat persaingan daripada pasar raya besar ini amat membebankan kami.

Walhal ia sudah diperkatakan tetapi suara rakyat tidak diendahkan. Sebaliknya Mohd Ali terus membenarkan pembinaan dan operasi pelbagai pasar raya besar di sebuah negeri kecil sekangkang kera ini.

Seperkara lagi, media rasmi negeri Melaka, Melaka Hari Ini , langsung tidak memihak kepada pendapat rakyat kerana ia sebenarnya hanyalah medium untuk menceritakan kisah-kisah politik Mohd Ali dan pemimpin-pemimpin yang sealiran sahaja.

Sebagai rakyat Melaka, paparan kisah kesengsaraan rakyat di negeri ini, perasaan tidak puas hati, saluran pendapat untuk menegur dan memberi idea kepada pemimpin tidak dipedulikan.

Tidak ada ketelusan dari segi pengisian dan hanya cerita-cerita yang mempunyai kepentingan mereka sahaja dipaparkan.

Akhbar rasmi tersebut tidak langsung berperanan sebagai medium untuk berkongsi kisah mengenai apa yang sebenarnya yang dikehendaki rakyat.

Maka apabila rakyat bersuara dan memprotes tindakan kerajaan dengan memberi undi kepada pihak pembangkang, janganlah ia dibesar-besarkan.

Tindakan ini sesuatu yang relevan, setimpal dan adil dengan apa yang telah diperlakukan kepada kami.

Jadi sebagai pemimpin, ambillah iktibar daripadanya. Dahulukan rakyat daripada kepentingan peribadi.

Pemimpin adil pemimpin disembah, pemimpin zalim pemimpin disanggah.

ADS