Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya sangat bersetuju dengan surat True Malaysia - 'Don't bother with ISA hunger strike' (May 12).

Sebagai seorang penganut agama Islam saya sangat tidak bersetuju kerana mogok lapar itu dibuat semata-mata kerana mahu memprotes penahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Islam menyeru kita berpuasa (bukan mogok lapar) sama ada wajib atau sunat, supaya kita sama-sama insaf bahawa masih ada golongan yang tidak bernasib baik seperti golongan fakir dan miskin yang kadang-kala 'kais pagi makan pagi'.

Tahanan ISA seperti Mohamad Ezam Mohd Nor, Hishamuddin Rais, Dr Badrul Amin Baharom, Saari Sungib, Abdul Ghani Haroon, N Gobalakrishnan dan beberapa lagi bukan termasuk dalam golongan tersebut. Mereka hidup dengan selesa dan mewah (walaupun tidak kaya-raya).

Walaupun ditahan mereka masih diberi makan. Mereka ditahan akibat perbuatan mereka sendiri.

Walaupun masih mahu memperjuangkan nasib mereka, orang Islam mempunyai banyak cara lain yang lebih afdal sembahyang hajat, berdoa dan berserah kepada Allah. Kalau mereka benar, Allah akan bersama-sama mereka.

Ingatlah orang Islam, puasa (bukan mogok lapar) bukan sekadar menahan lapar dan dahaga... selain menginsafi golongan yang tidak bernasib baik, puasa menuntut seluruh anggota kita bebas daripada perkara-perkara yang tidak baik.

Apa guna puasa (bukan mogok lapar) di tengah matahari terik sedangkan mulut tidak pernah bebas daripada kata cerca, maki hamun dan nista.

Akhirnya yang kita dapat hanyalah letih, lapar dan kehilangan suara. Jadi orang Islam tidak harus menyertai mogok lapar yang tidak berfaedah itu!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS