Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Merujuk berita bertajuk 'Pelajar luar bandar terima PPSMI' di sebuah akhbar 31 Mei lepas, Kementerian Pelajaran digesa agar lebih prihatin ketika mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.

Fakta-fakta yang disampaikan dalam berita tersebut tidak berdasarkan sumber dan maklumat yang sahih dan juga tidak berdasarkan kajian dan laporan yang teliti. Ia hanya berdasarkan komen peribadi seorang timbalan menteri.

Memetik berita tersebut, "perkembangan semasa menunjukkan ramai pelajar, termasuk calon dari sekolah luar bandar, mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mata pelajaran berkenaan".

Kenyataan ini bertentangan dengan berita yang disiarkan dalam akhbar yang sama sehari selepas berita itu dikeluarkan.

Berita kedua itu menyatakan kajian yang dibuat oleh tokoh akademik profesor emeritus Datuk Dr Isahak Haron bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan "83 peratus pelajar meluahkan perasaan kesukaran mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris dan sejumlah 85 peratus murid melaporkan guru mereka mengajar

Matematik dan Sains dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris."

Laporan itu juga menyebut "ini kerana guru ingin membantu muridnya yang ramai lemah bahasa Inggeris untuk memahami apa yang diajar".

Statistik dan laporan tersebut jelas bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.

Walaupun kementerian pernah menyatakan bahawa pelajar sekolah berupaya menerima pelaksanaan dasar baru itu, namun keputusannya masih dalam skala yang amat kecil.

Menurut laporan Isahak, hanya 38 peratus sahaja yang berupaya mengikuti pelaksanaan dasar baru itu. Lebih 70 peratus menyatakan mereka tidak boleh mengikutinya.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran harus lebih prihatin mengeluarkan kenyataan dan bukan hanya sekadar pandangan peribadi tanpa laporan dan kajian yang sewajarnya.

ADS