Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Pemuda PAS Pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap temubual presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kononnya mengkritik penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Laporan ini telah disiarkan dalam Malaysiakini pada 14 Julai bawah tajuk Kritikan Hadi pada Anwar, DAP .

Dalam kenyataan ini telah dinyatakan seolah-olah sumber-sumber Pemuda PAS telah membuat kenyataan seperti berikut:

"Pemuda PAS menyifatkan pandangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara minggu lepas sebagai isyarat kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat 'agar tidak menimbulkan masalah' kepada PAS"

Dewan Pemuda PAS Pusat mempertegaskan bahawa kami tidak pernah membuat kenyataan berhubung dengan kenyataan di atas.

Walaubagaimanapun Dewan Pemuda PAS Pusat berdiri teguh di belakang presiden dan menyokong kenyataan beliau dalam temubual dengan media pada minggu lepas.

Seterusnya laporan ini juga telah memetik daripada sumber Pemuda seperti berikut:

"Kita tidak mahu kelompok konservatif (sebahagiannya dalam Dewan Ulama) mendapat balik sokongan ahli-ahli PAS," tambah sumber itu lagi."

Laporan ini seolah-olah wujudnya kelompok-kelompok tertentu dalam PAS yang saling bersengketa antara satu sama lain.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah menafikan sekeras-kerasnya wujudnya pertentangan di antara Dewan Pemuda PAS dengan mana-mana individu atau kelompok dalam PAS.

Sebenarkan label kelompok yang kononnya wujud dalam PAS adalah tanggapan media sahaja. PAS sebagai sebuah parti yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunah tidak langsung terjebak dalam pertentangan kelompok.

Apa yang wujud dalam PAS adalah perbezaan pendapat dalam mematangkan sesuatu keputusan sahaja. Ini perkara biasa dalam mana-mana organisasi dalam dunia.

Suhaizan bin Kaiat merupakan ketua penerangan, Dewan Pemuda PAS Pusat

Nota editor: Laporan Malaysiakini semalam adalah berdasarkan kenyataan sumber dalaman Dewan Pemuda PAS pusat sendiri.

ADS