Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai kumpulan black metal memenuhi hampir tiga muka surat pertama akhbar berbahasa Melayu. Sejauh mana kebenaran fakta-fakta yang dikeluarkan oleh media mengenai kumpulan black metal ini tidaklah diketahui.

Mungkin benar terdapat pendengar muzik black metal yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan agama seperti memijak Al-Quran, mengambil dadah dan sebagainya tetapi ramaikah bilangan mereka sehingga perlu mendapat publisiti yang begitu meluas?

Kalau pihak berkuasa mengetahui tentang adanya perlakuan sedemikian, tangkap dan hukumlah mereka yang terlibat dan janganlah menghukum mereka yang meminati muzik black metal dan tidak langsung terlibat dalam perkara-perkara yang tidak elok.

Memanglah bagus kerana kerajaan dan lain-lain pihak berkuasa cuba untuk membanteras gejala sosial tetapi kelihatan agak lucu kerana bak kata pepatah melayu, gajah di depan mata tak nampak, nyamuk di seberang laut nampak.

Kenapa kerajaan dan Datin Seri Siti Zaharah tidak serius dalam membanteras perlakuan minum arak dan pergaulan bebas di kalangan bangsa Melayu yang berlaku di pusat-pusat hiburan? Pergilah ke disko-disko di sekitar Kuala Lumpur seperti yang terdapat di Bangsar dan kita akan lihat 90 peratus daripada pengunjungnya adalah orang Melayu. Meminum arak dan bergaul bebas adalah perkara biasa di situ. Adakah ini tidak salah dan mengapa dibiarkan berlaku tanpa sebarang pendedahan meluas dibuat oleh pihak media? Adalah lebih mudah untuk menyerbu disko-disko ini dari mencari tiga atau empat orang ahli kumpulan black metal di Sungai Petani, tetapi kenapa serbuan ini tidak dilakukan?

Hakikat sebenarnya, masalah utama bagi umat Islam di negara kita ini ialah kurangnya pegangan pada nilai-nilai agama Islam. Kurang pegangan pada Islam menjerumus pada perkara-perkara yang tidak sihat. Fenomena ini, yakni kurang pegangan pada Islam, adalah jauh lebih serius di Kuala Lumpur berbanding dengan bandar-bandar lain seperti Sungai Petani.

Kita juga harus sedar bahawa masalah ini bukan sahaja berlaku di kalangan remaja, tetapi meliputi seluruh lapisan masyarakat. Cuma, pendedahan media yang tertumpu kepada remaja sahaja. Kenapa pihak media tidak mendedahkan masalah sosial orang Melayu dewasa seperti melanggani wanita muda di pusat hiburan, minum arak dan sebagainya? Atau ini bukan masalah sosial dan pendedahan hanya perlu setelah ditangkap basah?

Umumnya, masyarakat, dibantu dengan publisiti pihak media sejak akhir-akhir ini, menganggap muzik black metal adalah muzik yang ganas dan memuja syaitan. Apakah muzik pop yang digemari oleh pengunjung-pengunjung disko itu baik? Liriknya tidak mengundang kepada perkara mungkar seperti seks bebas?

Bagi sesiapa yang bersifat analitikal, mungkin dapat menyimpulkan bahawa terdapat 'double standard' dalam cara pihak berkuasa menangani sesuatu isu. Tindakan serius tidak diambil ke atas pengunjung-pengunjung disko mungkin kerana mereka terdiri dari orang berada, anak-anak VIP atau mungkin VIP sendiri. Orang-orang sebegini mendatangkan pulangan kepada negara dan terdapat risiko jika mengambil tindakan ke atas mereka.

Manakala penggemar muzik black metal pula, rata-rata terdiri daripada kalangan yang kurang berada dan bukan dari orang VIP. Oleh itu, pihak berkuasa tidak rugi dan tidak mengalami sebarang risiko jika mengambil tindakan terhadap mereka. Masih ingat bagaimana orang-orang atasan melenting dalam isu restoran The Ship dan isu pertandingan ratu cantik?

Muzik black metal mungkin boleh menjadi punca kepada keruntuhan akhlak orang Melayu (iaitu bukan hanya remaja Melayu) hari ini tetapi ianya bukanlah punca utama. Muzik adalah sebagai hiburan dan bersifat universal.

Namun, jika pihak berkuasa masih ingin menjadikan muzik sebagai punca keruntuhan akhlak, maka muzik disko dan poplah yang perlu kerajaan banteras kerana muzik tersebut mempunyai lebih ramai peminat. Jikalau betul-betul serius, laranglah orang Melayu dari mengunjungi disko dan meminum arak walaupun ianya mengurangkan pendapatan cukai negara.

Pihak media pula, mainkan peranan anda untuk memberi berita-berita yang membina dan kupaslah isu-isu yang sebenar. Apabila pihak media hanya menganalisa isu-isu kecil yang bukan punca sebenar sesuatu masalah, masyarakat bijak hari ini akan menganggap sama ada pihak media sudah ketandusan idea atau hanya ingin mengalih perhatian masyarakat dari isu atau masalah sebenar yang lebih serius dan dahsyat.