Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tiba-tiba dalam minggu ini berita dalam akhbar arus perdana (kononnya) membongkar kegiatan Black Metal. Seolah-olah ia baru ditemui dan segera didedahkan.

Apa yang kita semua tahu kumpulan Black Metal sudah lama muncul dengan muzik underground mereka. Belia-belia Malaysia (khususnya Melayu) bukan baru-baru ini memakai T-shirt berwarna hitam yang bergambar wajah setan. Bukan sehari dua ini belia-belia kita memakai rantai 'lima bintang' (simbol setan).

Malahan promosi album-album kumpulan Black Metal bukan sahaja disiarkan dalam akhbar-akhbar malah ia juga dipromosikan di radio dan televisyen. Maknanya kewujudan kumpulan ini memang diketahui umum. Satu ketika dahulu diadakan pesta muzik kumpulan ini iaitu 'Battle Of The Brutal'.

Ia juga telah dipromosikan oleh media cetak dan media elektronik. Persoalannya kenapa seminggu dua ini baru dijadikan isu yang menggemparkan? Apakah muslihatnya?

Bagi saya ia adalah sekadar untuk mengalihkan perhatian rakyat tentang apa yang sedang berlaku dalam negara kita. Negara dewasa ini sedang menghadapi masalah ekonomi dan kemelut politik. Rakyat sekarang sedang dicengkam, sesuatu yang tidak pernah berlaku kecuali semasa zaman darurat.

Rakyat sekarang mula melihat peranan polis yang jauh melencong daripada peranan asal ditubuhkan. Soal penyalahgunaan wang rakyat juga tidak henti-henti dibongkarkan. Yang terbaru ialah kes Renong. Maka untuk mengalihkan perhatian rakyat, 'isu sengaja dijelmakan'.

Saya ingin bertanya, sejak bila kerajaan benar-benar dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang gejala sosial?

Apa yang mereka anjurkan meskipun ia memang jelas mendatangkan kesan yang tidak baik kepada remaja, maka itu tidak ditakrifkan sebagai gejala sosial. Mereka namakan pesta anjuran mereka sebagai pesta senilah, pesta budayalah, promosi pelanconganlah dan berbagai-bagai istilah. Kita lihat sahaja bagaimana kesudahan isu Black Metal ini.

ADS