Merujuk kepada kepada surat Awang bertajuk 'Militants giving religion a bad name' (Sept 9) dan surat SAB ('The unnerving justification for Islamic militancy', Sept 8), sejak era nation states (negara bangsa), pengkaji politik dan sejarah melihat bagaimana Barat sentiasa cuba menjamin survival mereka.
Semua orang tahu bahawa Islam adalah agama yang melangkaui batas negara bangsa secara ideologi. Ia memiliki sejarah yang menjelaskan kedudukan tersebut sejak kurun pertengahan hingga ke kejatuhan empayar Ottoman. Walaupun negara-negara Islam moden yang wujud dalam kerangka negara bangsa pada hari ini cuba menafikan 'ideologi' Islam dalam masalah ini - yang sebenarnya mereka cuba menyembunyikan hakikat sistem empayar - namun ia adalah suatu hakikat yang tidak dapat disembunyikan.
Biarlah kita berterus-terang. Kuasa-kuasa Barat ketika meninggalkan tanah-tanah jajahannya, telah memastikan bahawa setiap kawasan yang mereka tinggalkan tidak akan mampu lagi berpotensi menjadi pencabar bagi peradabannya.
Dua tindakan jelas yang diambil bagi melaksanakan kehendak itu ialah: dengan memasukkan seluruh dunia ke dalam sistem negara bangsa - yang bererti melumpuhkan tenaga peradaban yang paling berpotensi mengalahkannya - dan dengan cara memastikan bahawa negara-negara tersebut ditinggalkan dalam keadaan dikuasai oleh golongan yang tidak memikul idea peradaban empayar.
Kembali kepada isu penglabelan militan, pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia Sintok dikaitkan dengan militan hanyalah kerana buku yang ditulis oleh Hassan Al-Banna, seorang ahli gerakan Islam Mesir. Sejarah membuktikan selepas kematian beliau bahawa gerakan tersebut tidak berhasrat sama sekali untuk menggunakan senjata.
Begitu juga tuduhan yang dikenakan kepada pengganti beliau yang iaitu Sayyid Qutb. Melihat kepada tulisan sejarah Ikhwan sendiri - terutama tulisan Sayyid Qutb sebelum penggantungannya, didapati bahawa isu senjata adalah sandiwara yang diadakan oleh Jamal Abdul Nasser. Sedangkan secara hakikatnya senjata yang dituduh kononnya akan tiba dari negara teluk itu tidak pernah wujud.
Bahkan terbukti kemudiannya bahawa seorang perisik regim Jamal Abdul Nasser sendirilah yang mengemukakan perkara itu kepada Ikhwan. Jadi dapat difahami bahawa penglabelan 'militan' dan 'kekerasan senjata' adalah permainan kerajaan yang sentiasa cuba melumpuhkan sebarang gerakan Islam.
Itu adalah sejarah yang berlaku pada 1940-an dan 1960-an. Taktik ini adalah dianggap yang paling berkesan. Justeru itu, mana-mana perisik dan jabatan keselamatan negara pasti memahami bahawa itulah cara yang begitu efektif untuk menghadapi sebarang kumpulan atau gerakan yang berdiri atas asas keagamaan.
Dan tidak keterlaluan untuk rakyat negara ini meragui isu Sauk di Bukit Jenalik, isu black metal, dan terbaru isu KMM (walau apapun pertukaran nama Mujahidin kepada Militan), kerana cara isu-isu tersebut diurus dan dimainkan menunjukkan bahawa terlalu banyak perkara yang cuba ditutup dan dikelirukan kepada rakyat sendiri.
