Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerian itu.
"Saya bersedia dan saya akan memberi sepenuh kerjasama kepada SPRM jika dipanggil (untuk beri keterangan). Namun sehingga sekarang, saya masih belum mendapat panggilan daripada pihak berkenaan (SPRM). Saya juga tidak pasti sama ada saya akan dipanggil atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Petugas media mula berkumpul di pejabatnya seawal jam 9 pagi bagi mendapatkan ulasan beliau berikutan laporan SPRM melakukan pemeriksaan mengejut di Kementerian Pelancongan semalam dan dikatakan merampas sejumlah fail serta menyoal siasat beberapa pegawai kementerian itu, lapor Bernama.
Azalina juga menolak kemungkinan ada pihak ketiga yang cuba menjatuhkan imej dan memburukkan reputasi beliau menjelang perhimpunan agung Umno yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.
Dalam perhimpunan tersebut, Azalina, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, akan mencuba nasib mempertahankan jawatan itu.
Azalina yang ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di pejabatnya, kelihatan tenang menjawab soalan wartawan.
Ditanya mengenai bilangan pegawainya yang disoal siasat dan dokumen kementerian yang dirampas oleh SPRM, Azalina berkata beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.
Laporan akhbar
"Saya tak tahu... saya tak tahu jumlah yang kena ambil keterangan dan dokumen yang diambil SPRM, saya hanya tahu mengenai serbuan itu melalui pegawai saya dan laporan akhbar hari ini," katanya.
Azalina berkata beliau menghormati SPRM sebagai sebuah badan yang profesional.
"Saya yakin terhadap SPRM. SPRM merupakan agensi profesional dan mereka hanya menjalankan tugas mereka," katanya.
Azalina berkata beliau juga tidak mengetahui mengenai tujuan penyiasatan SPRM terhadap kementeriannya.
"Saya tak begitu pasti apa yang mereka (SPRM) cari dan tujuan soal siasat berkenaan. Saya juga yakin seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya," katanya.
Tiada pegawai kanan ditahan
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM)Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata tiada lagi pegawai kanan akan ditahan berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek Kementerian Pelancongan.
Ahmad Said yang dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu selain meminta orang ramai dan pihak media tidak mempercayai khabar angin seperti itu kerana ia hanya akan mengganggu siasatan SPRM.
"Dah namanya khabar angin, tidak betul la tu... dan harap media serta orang awam tidak percaya mengenai perkara tersebut (akan tahan)," katanya.
Minggu lepas, dua pegawai Menteri Pelancongan Datuk Azalina Othman Said ditahan SPRM termasuk setiausaha politiknya yang bergelar Datuk sebelum dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
Ketika ditahan, SPRM menemui RM70,000 dalam kereta setiausaha politik itu, dipercayai untuk diagihkan kepada perwakilan Umno Wilayah Persekutuan pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.
Diminta mengulas mengenai tindakan SPRM menyerbu pejabat kementerian dan menyoal siasat beberapa pegawai kementerian itu semalam, Ahmad Said berkata perkara itu (ambil keterangan) adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan.
Semalam, dua pegawai kanan menteri itu telah diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 11.30 pagi.
Kesemua mereka yang disoal siasat telah memberi kerjasama sepenuhnya termasuk mengemukakan segala dokumen yang dikehendaki.
