Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz bidas Hadi isu kerajaan campuran PAS-BN
Diterbitkan:  Mar 18, 2009 4:20 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Mursyidul am PAS hari ini membidas tindakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencadangkan pembentukan kerajaan campuran PAS-BN baru-baru ini, lapor Bernama .

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melihat cadangan Abdul Hadi itu sebagai membelakangi keputusan muktamar parti itu di Ipoh, Ogos lalu yang menolak usaha pembentukan kerajaan campuran dengan BN.

Sambil menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai pandangan peribadi, Nik Aziz menegaskan satu mesyuarat khusus sepatutnya diadakan untuk membincangkan perkara itu.

"Itulah yang saya sebut, kalau nak bahas masalah kerajaan dengan Umno kena ada mesyuarat khusus. Jangan buat keputusan lain, cakap lain, itu saya tak setuju," beliau dipetik berkata.

"Saya tetap dengan keputusan muktamar, barulah dikatakan kedudukan kita stabil dan kita dipanggil berdisiplin."

Bercakap selepas menerima kunjungan pelabur dari Taiwan di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Nik Aziz, juga Menteri Besar Kelantan, berkata beliau tetap berpegang kepada keputusan bersama dalam muktamar, iaitu PAS tidak mahu mengadakan kerjasama dengan BN, termasuk pembentukan kerajaan campuran.

Katanya, beliau hanya akan akur dengan cadangan Abdul Hadi itu sekiranya semua ahli jawatankuasa pusat PAS bersetuju mewujudkan kerajaan campuran dan keputusan itu perlu ditetapkan dalam mesyuarat khas berkenaan.

"Apa kita nak bercanggah dengan keputusan muktamar, kalau buat mesyuarat dan semua menyokong, kita akan buat, tak ada masalah," katanya seperti dilaporkan.

Nik Aziz berkata beliau menentang cadangan Abdul Hadi itu kerana ia

bertentangan dengan dasar parti selain dikhuatiri ia tidak akan membawa kebaikan pada PAS.

ADS