Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis pohon waran tangkap terhadap Helmi
Diterbitkan:  Mar 23, 2009 10:36 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Polis akan memohon perintah mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas teman lelaki ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong kerana gagal hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gambar separuh bogel wakil rakyat tersebut.

Polis telah memberi tempoh kepada Helmi Malek, 32, sehingga Khamis lalu supaya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, namun beliau gagal menghadirkan diri.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat berkata tempoh yang diberikan kepada Helmi telah tamat dan waran tangkap terhadapnya wajar dikeluarkan.

"Kita telah mengambil keterangan bapanya (Helmi) baru-baru ini. Notis (surat perintah) untuk hadir memberi keterangan telah dihantar kepada Helmi melalui bapanya namun beliau masih gagal hadirkan diri," katanya kepada Bernama hari ini.

Minggu lalu, polis mengeluarkan surat perintah bagi memanggil Helmi agar tampil untuk membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel Wong, yang diserahkan melalui bapanya.

Polis sebelum ini juga mengesahkan Helmi merupakan satu-satunya saksi yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes gambar separuh bogel Wong yang tersebar luas awal bulan lalu.

Sementara itu, berhubung laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Abdul Samah berkata pihaknya akan memanggil penulis buku "Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin" untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Semalam, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Brickfields terhadap penulis buku tersebut yang dikatakan mengugut dan memfitnah beliau.

ADS