Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa apa juga keputusan yang dibuat, tidak akan terpesong dan akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hishammuddin yang baru terpilih sebagai naib presiden Umno dalam pemilihan kali ini, berkata beliau telah meneliti perbahasan perwakilan, termasuk dari Perak, Johor dan Selangor berhubung bahasa isu bahasa tersebut.

Dalam ucapan penggulungannya, beliau berkata, usaha untuk meningkat kedudukan bahasa Melayu bukan berkisar di sekitar program pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sahaja.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata kerajaan sedang menyusun langkah dan sedang dalam proses meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada badan tersebut.

"Kita juga sedang meneliti untuk menukar kepada kurikulum yang lebih bersifat holistik dan tidak menekankan kepada peperiksaan semata-mata," katanya.

Kurikulum ini, tegas Hishammudddin akan dikemukakan untuk menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).

Katanya, matapelajaran sejarah juga akan dinilai semula dalam sistem pelajaran supaya generasi muda tidak buta sejarah.

Tujuannya adalah untuk memberi kefahaman yang tinggi terhadap Rukun Negara, Pelembagaan Umno, insitutsi Raja-raja Melayu dan proses kemerdekaan negara.

Hishammuddin juga berkata pelbagai cara telah dilakukan untuk memertabatkan profesyen perguruan dan memberi mereka peranan politik dalam negara.

Namun, katanya, pengorbanan, dedikasi, kecekalan dan semangat guru sekarang telah dipinggir dan "seterusnya (mereka) meninggal kita".

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada kerajaaan supaya kakitangan kumpulan A dibenarkan berpolitik dalam Umno.

ADS