Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan kembali semula ke pangkuan Umno tetapi menafikan tanggapan beliau akan menjadi penasihat kerajaan.

Dr Mahathir mengisytiharkan keluar adari Umno pada Mei tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini, Dr Mahathir bagaimanapun menuntut "syarat-syarat" tertentunya dipenuhi terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pertimbangan.

Beliau yang juga bekas presiden Umno, tidak memperincikan syarat-syarat tersebut.

Desas-desus beliau akan kembali semula ke Umno, bertiup kencang apabila perdana menteri keempat itu muncul di perhimpunan agung tersebut tengahari tadi.

"Saya akan masuk (semula Umno) tetapi mengikut syarat-syarat yang saya letakkan. Saya akan masuk," katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir masih berteka-teki tentang tarikh penyertaannya ke dalam Umno dengan berkata: "Bila kena masanya."

Ditanya sama ada beliau diminta menjadi penasihat kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata "tidak ada", sebaliknya hanya "bersedia memberikan pandangan sahaja".

Mengulas barisan baru kepimpinan Umno, beliau berkata "ada yang tidak menyenangkan hati juga" kerana "terlalu banyak duit ditaburkan"

Sementara itu, anak beliau Datuk Mukriz Mahathir yang tewas dalam pemilihan ketua Pemuda Umno berkata, bapanya hadir kerana itu merupakan janji beliau.

Tambah beliau, bapanya pernah berkata apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil semula tampuk pemerintahan, beliau akan kembali kepada Umno.

ADS