Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam keadaan tidak menentu selepas penggantungan dua akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan awal minggu ini, sekumpulan pengedarnya merancang mewujudkan kelab bagi membela nasib mereka.

Seorang pengedar tabloid PAS itu Wan Zahari Majid memberitahu Malaysiakini , rakan-rakannya yang mengedar dua akhbar politik itu sedang berusaha menubuhkan persatuan yang digelar Kelab Pengedar dan Pembaca Akhbar Alternatif (PEKA).

"Baru-baru ini kami bertemu (ketua penerangan PKR) Tian Chua dan rakan-rakan pengedar Suara Keadilan untuk membincangkan masalah kami bersama," katanya, sejurus selepas selesai mesyuarat bersama pengedar dengan pengurusan Harakah tengahari tadi.

suara keadilan and harakah digantung Menurutnya, idea menubuhkan PEKA itu sudah lama ditimbulkan tetapi ia kembali menjadi tajuk perbincangan lebih serius sesama pengedar sejak penggantungan mengejut selama tiga bulan akhbar PAS dan PKR itu, 23 Mac lepas.

"Ramai orang yang sudah beri persetujuan. Pengedar yang lebih lama berkecimpung dalam penjualan Harakah akan diberi keutamaan untuk menerajui persatuan ini," kata Wan Zahari.

"Kami pengedar baru dan lebih muda bakal menggerakkan jawatankuasa penaja PEKA ini di peringkat awal.

"Mungkin dengan wujudnya lebih ramai anggota PEKA, maka kita boleh menyusun rancangan bagi membela nasib bersama."

Jika mendapat sambutan, tambahnya, kemungkinan persatuan ini akan dikembangkan di negeri-negeri lain.

Melalui PEKA, katanya lagi, beberapa tuntutan boleh dimajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu-isu permit penerbitan akhbar alternatif dua tabloid itu.

Wan Zahari berkata, para pengedar dan pembaca akhbar-akhbar alternatif selain Harakah dan Suara Keadilan juga diundang menyertai PEKA.

Mereka yang ingin mengetahui keterangan lanjut, boleh menghubungi beliau di talian 010 20 13 839 atau menerusi emel [email protected] .

Mesyuarat pengedaran Harakah hari ini melibatkan kira-kira 20 orang pengedar.

ADS