Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bkt Selambau: 14 calon sudah bayar deposit
Diterbitkan:  Mar 28, 2009 9:01 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Seramai 14 bakal calon telah membuat bayaran deposit kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 7 April ini.

bm version bukit selambau state seat 090209 Hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil tersebut ialah esok.

Pengarah SPR Kedah, Zainal Abidin Zakaria berkata 12 daripadanya adalah calon bebas, seorang calon Barisan Nasional (BN), Datuk S.Ganesan dan seorang calon PKR, S Manikumar.

Zainal Abidin berkata setiap calon membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk bertanding dan RM3,000 sebagai deposit poster, lapor Bernama.

Calon bebas yang telah membuat bayaran deposit itu ialah bekas Ketua Wanita PPP Kedah, L Sarala, 34; ahli perniagaan T Chandrarajan, 40; kontraktor R Loganathan, 43; ahli perniagaan Tan Hock Huat, 46; ahli perniagaan Zaharan Abdullah, 39; Mejar (B) Mohd Fadzli Wahab, 38; Anuar Abdul Hamid, 58; A Jayagopal, 57; Husaini Yaacob, 44; Abdul Rahim Abu; S Moganakumar and Venason Michael.

Zainal Abidin berkata SPR telah menyediakan 20 lambang untuk dipilih oleh calon bebas pada hari penamaan calon esok.

Tarik diri

Sementara itu, seorang peniaga yang telah menyatakan hasratnya bertanding di DUN Bukit Selambau menarik diri sehari sebelum hari penamaan calon.

Mohd Reduan Md Isa, 52 berkata beliau membuat pengumuman untuk bertanding pada tiga minggu lepas tetapi kemudiannya menukar fikiran setelah berbincang dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beliau menafikan dakwaan kononnya mendapat inisiatif daripada pihak tertentu untuk menarik diri.

Bekas Anggota Jawatankuasa PKR Bahagian Merbok itu berkata beliau akan memberikan sokongan kepada calon PKR Manikumar yang akan bertanding.

Laporan polis

Sementara itu empat laporan polis dibuat oleh individu tertentu berhubung beberapa perkara termasuk kes pergaduhan kecil yang melibatkan kecederaan ringan menjelang pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata selain pergaduhan, kes lain yang turut dilaporkan membabitkan perhimpunan tanpa permit dan rasa tidak puas hati calon terhadap seseorang lain yang menggunakan namanya untuk tujuan tertentu.

"Tiada laporan daripada parti politik, tapi laporan daripada inidvidu ada dibuat. Setakat ini, empat kes dilaporkan dan semuanya telah dibuka untuk siasatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.

Bagi memastikan proses penamaan calon esok berjalan lancar, Hashim berkata 835 anggota polis akan bertugas di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Teknik I Sungai Petani.

Katanya polis menjangkakan 10,000 penyokong akan berhimpun di kawasan pusat penamaan calon dan pihaknya telah mengambil beberapa langkah, termasuk melencongkan laluan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

DUN Batang Ai

Di Sarawak, kira-kira 800 anggotanya ditugaskan untuk memastikan kelancaran perjalanan pilihanraya kecil DUN Batang Ai.

bm version batang ai state seat past results 110309 Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Salleh berkata mereka akan membantu melicinkan proses penamaan calon esok, kempen pilihanraya dan proses pengundian yang akan dikendalikan SPR.

"Kita ada 800 anggota semua peringkat dan saya rasa ini memadai khas untuk pilihanraya ini," katanya kepada Bernama.

Jalan utama menuju Lubok Antu berhampiran pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Lubok Antu akan ditutup sepanjang proses penamaan calon esok.

Beliau berkata jalan itu adalah satu-satunya jalan menuju pekan Lubok Antu yang menjadi pusat utama proses pilihanraya kecil Batang Ai.

Sementara itu di Perak, SPR meminta pemimpin parti politik yang bertanding dalam tiga pilihanraya kecil supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan emosi penyokong mereka pada hari penamaan calon yang berlangsung serentak pagi esok.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata semua pihak perlu memastikan proses penamaan calon berjalan dalam keadaan harmoni tanpa sebarang insiden buruk seperti yang berlaku ketika pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok sebelum ini.

"Esok cuma hari penamaan calon sahaja, jadi jangan buat sesuatu yang boleh menimbulkan kekecohan dan terlalu emosional. Penyokong biasanya mudah emosi apabila mendengar ucapan pemimpin terutama dalam suasana politik sekarang.

"Kita juga nasihatkan pemimpin parti yang bertanding agar tidak membawa terlalu ramai penyokong supaya kita boleh awasi dengan lebih baik... kejadian yang berlaku di Permatang Pauh dan Ijok menjadi pengajaran dan membuatkan kami dan polis menjadi lebih bersedia," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau persiapan SPR untuk penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Dewan Perbandaran Taiping.

ADS