Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir tidak lupa Anwar di Bkt Gantang
Diterbitkan:  Apr 6, 2009 11:07 AM
Dikemaskini: 12:18 PM

kemaskini 1.47pm Tun Dr Mahathir Mohamad mencecahkan kaki di kawasan parlimen Bukit Gantang pada hari akhir kempen pilihanraya kecil di situ dengan membidas bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak ada orang yang saya angkat (begitu tinggi), angkat sehingga dia sampai ke langit, tinggal sikit lagi sahaja (untuk jawatan perdana menteri), tapi (dia) tidak tahan, tidak boleh tunggu, nak juga bagi saya jatuh cepat-cepat," katanya.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 01 "Jadi, orang yang semacam ini kalau kita angkat, kita akan dapat nasib macam sayalah. Sampai dia naik atas, dia tendang jatuh semua tangga-tangga."

Merujuk penyisihan yang dialaminya dalam era pentadbiran penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan perdana menteri itu bagaimanapun tidak meneruskan kecamannya.

Beliau hanya berkata "kita tahulah siapa orang yang saya cakap ini."

"Bila dia (Anwar) pergi tempat ini, dia jadi orang ini. Bila dia pergi tempat lain, dia jadi orang lain. Dia sokong orang India, tapi kalau dia pergi tempat lain, jumpa orang Melayu, dia kata orang India ini jahat," katanya.

"Demikian juga bila jumpa orang Cina, oh orang ini, orang itu jahat, (mereka) tidak layan langsung kehendak orang Cina. Ini tidak benar."

Anwar juga ditempelak berhubung usahanya menumbangkan kerajaan persekutuan pada 16 September lalu.

Ucapan Dr Mahathir di Batu 2.5 Jalan Simpang dalam kawasan parlimen itu lebih kurang 40 minit disiarkan secara langsung melalui TV1 mulai kira-kira jam 11 pagi.

Selain menggesa pengundi menyokong calon BN Ismail Saffian - yang kemudian tampil berdiri di sebelahnya dan tangannya dijulang oleh tokoh Umno itu - Dr Mahathir turut membidas calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya "patik mohon derhaka" kepada Sultan Perak.

Dengan mengakui kesilapan BN meletakkan "calon luar", Datuk Azim Zabidi yang juga bendahari Umno, pada pilihanraya umum lalu, Dr Mahathir berkata: "bukan tidak ada bakat di sini, ada."

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 02 "Saya tidak mahu mengata sangat kepada parti lawan, ... tidak payahlah, semua sudah tahu, siapa dia parti lawan, semua sudah tahu, ... ada yang derhaka pun ada," katanya, disambut jeritan para penyokongnya.

"(Mengajuk kata-kata Mohammad Nizar:) 'saya pohon derhaka'. Cukup special . Tidak pernah dengar perkataan ini sejak (peristiwa) Sultan Mahmud mangkat dijulang, inilah kali pertama kita dengar," katanya di depan kira 2,000 orang.

"Mujurlah dia tidak ada tombak nak sula. Inikah orang nak jadi pemimpin kita?

"Kalau tidak bersetuju (kepada raja), kita tidak bersetuju, OK. Tapi jangan sampai kata mohon menderhaka. Wah, bukan main, besar."

Dr Mahathir juga mendakwa Mohammad Nizar, sewaktu menjadi menteri besar Perak, memperkenalkan dasar pemberian tanah kepada komuniti Cina untuk mempopularkan dirinya sendiri dan bukan jujur untuk membantu masyarakat.

mahathir in bukit gantang by election ceramah 060409 03 Dalam perhimpunan tersebut, beliau juga menyeru kepada ahli dan penyokong Umno yang telah meninggalkan parti itu agar kembali bersama parti itu.

Dr Mahathir juga menyatakan keyakinan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri baru, sambil menceritakan bagaimana bapa presiden Umno itu pernah menerima borang keahliannya pada awal 1970-an selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman.

Bekas presiden Umno itu juga meminta rakyat menolak demonstrasi dengan alasan ia tidak membawa sebarang manfaat untuk memajukan negara.

Selepas acara pagi ini, Dr Mahathir dijadual turun berkempen kira-kira 3 petang ini di DUN Bukit Selambau yang menyaksikan persaingan calon PKR S Manikumar dan S Ganesan (BN) bersama 13 lagi calon bebas.

ADS