Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hasrat Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk turun merayu undi bagi calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang hari ini tidak menjadi kenyataan, antaranya kerana masalah kewangan.

Di samping itu, ianya disebabkan ramai anggota SMM sedang membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan akhir semester yang sudah hampir.

"Bagaimanapun, masalah kewangan merupakan faktor utama kami tidak dapat turun membantu calon Pakatan hari ini," kata Presiden SMM, Muhammad Hafizuddin Abirerah ketika dihubungi Malaysiakini.

Namun begitu, beliau mendapat tahu ada juga segelintis pelajar yang turun atas perbelanjaan sendiri untuk merayu undi bagi calon Pakatan di Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang menyaksikan persaingan antara calon BN, Ismail Saffian dengan calon PAS, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan seorang calon bebas, Kamarul Amizu Idris.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Mahasiswa Selangor (Permasis), Mohammad Fauzun Maaruf pula berkata, pihaknya berharap Nizar akan menang dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Kalau YB Nizar kalah, ini memberi tanggapan seolah-olah rakyat merestui ‘rampasan kuasa' di Perak baru-baru ini," katanya kepada Malaysiakini.

Edar risalah

Menurutnya, oleh kerana tidak cukup tenaga, ditambah pula dengan bebanan tugasan kuliah, maka mereka tidak dapat berkempen membantu Pakatan dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang.

Bagaimanapun, Muhammad Hafizuddin berkata, pihaknya telah mengedar risalah meminta pelajar pulang mengundi hari ini.

"Ramai juga mahasiswa Perak yang pulang mengundi hari ini. Jadi usaha kita untuk membangkitkan kesedaran mereka berhasil.

Ditanya mengenai reaksi pihak universiti terhadap pelajar yang terbabit dalam kempen pilihanraya kecil sekarang, beliau berkata: ""Belum ada apa-apa surat lagi daripada HEP (Bahagian Hal Ehwal Pelajar)."

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapat maklumat bahawa dua pegawai dari HEP yang membuat pemantauan sewaktu kempen pilihanray akecil Bukit Gantang.

"Mungkin mereka mahu membuat pengintipan jika ada pegawai universiti dan pelajar yang terlibat dalam kempen di sana," tambahnya.

ADS