Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata kekalahan BN dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau bukan kerana faktor calon.

Sebaliknya, tegas beliau, ia disebabkan banyak faktor lain, antaranya situasi semasa di kawasan berkenaan.

samy vellu Beliau menegaskan demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pagi ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau semalam dimenangi calon PKR, S Manikumar yang meraih 12,632 undi untuk menewaskan calon BN dari MIC, Datuk S Ganesan, yang mendapat 10,229 undi.

Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi - lebih 40 undi daripada majoriti V Arumugam yang melepaskan kerusi tersebut dengan alasan nyawanya diancam.

Manakala kesemua 13 calon bebas hilang wang deposit - mencipta satu lagi rekod selepas kertas undi terbesar dalam sejarah Malaysia.

Bedah siasat keputusan

Bekas menteri kerjaraya itu berkata pada mulanya sokongan kepada calon BN adalah baik.

"Kira-kira 30 peratus sudah memberi sokongan kepada calon BN tetapi saya tak tahu macam mana di saat akhir kita boleh kalah.

"Mereka balik memberi sokongan kepada calon lawan," tambahnya.

Beliau bagaimana tidak menjawab apabila ditanya apa yang dimaksudkannya dengan 'situasi semasa di Bukit Selambau'.

Sebaliknya, kata beliau, parti itu akan membuat bedah siasat untuk mengkaji punca kekalahan calonnya itu.

Mengenai perjumpaan dengan Najib pagi tadi, Samy Vellu berkata beliau telah menyerahkan senarai nama calon dari MIC untuk mengisi jawatan kabinet.

Serah nama calon kabinet

"Kita hanya beri cadangan sahaja tapi terpulang kepada perdana menteri, kerana kita telah ada seorang menteri...terpulang kepada perdana menteri," katanya.

Turut menemui Najib pagi ini ialah Ketua Menteri Sarawak yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud, juga berhubung dengan pelantikan kabinet baru.

"Hari ini saya menyerahkan senarai nama calon PBB kepada perdana menteri," katanya.

Menurutnya, beliau menyerahkan senarai nama yang sama memandangkan usia kabinet sekarang, baru mencecah setahun.

"Saya ada berbincang sedikit mengenai pembentukan kabinet baru tapi terpulang kepada perdana menteri untuk melantik anggota kabinet," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, beliau membayangkan mungkin ada kejutan yang baik bagi Sabah dan Sarawak.

ADS