Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan disaran teruskan jambatan bengkok
Diterbitkan:  Apr 14, 2009 4:03 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Pemuda Umno Johor mencadangkan kerajaan mengkaji semula projek Jambatan Bengkok yang pembinaannya dibatalkan pada 2006 kerana berpendapat projek itu mampu merancakkan ekonomi negara, khususnya di Johor.

"Ia (pembinaan jambatan bengkok) adalah pelaburan jangka panjang dan tiada siapa yang dapat menafikan kesan positif projek pembinaan jambatan itu terhadap ekonomi Johor dan di dalam mewujudkan pelbagai peluang ekonomi lain," kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Johor, Khalid Mohamad.

johor singapore new crooked bridge causeway 270106 Beliau berkata pembinaan semula jambatan bengkok merentasi Selat Johor mampu memenuhi aspirasi rakyat Johor terhadap barisan kabinet rakyat pimpinan perdana menteri yang baru Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya, keseluruhan rakyat Johor tanpa mengira agama dan bangsa mahu kerajaan mengkaji semula keputusan yang dibuat pada 2006 untuk membatalkan pembinaan jambatan bengkok, lapor Bernama.

"Rakyat Johor dari segenap pelusuk menaruh harapan yang tinggi terhadap perdana menteri supaya keputusan untuk membatalkan projek pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Johor itu dikaji semula," kata Khalid yang juga ketua Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru dalam satu sidang akhbar hari ini.

Mengenai kemungkinan bantahan dari Singapura terhadap cadangan pembinaan semula jambatan bengkok itu, beliau berkeyakinan kedua-dua negara mampu berunding dan mencapai penyelesaian untuk kepentingan bersama.

"Jika tidak pun, kita hanya membina jambatan itu di bahagian kita sahaja,"

katanya sambil menambah, Singapura perlu mengelak daripada menjadikan isu pembinaan jambatan itu sebagai "cagaran" sebagai syarat untuk menyelesaikan isu lain yang tertangguh.

Semalam, orang ramai termasuk persatuan dan dewan perniagaan Cina dan India Johor menyuarakan keyakinan mereka bahawa pembatalan projek pembinaan jambatan bengkok itu akan dikaji semula oleh pentadbiran perdana menteri yang baru.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Johor Baharu Datuk Soh Poh Seng dipetik berkata, perniagaan di dalam bandaraya Johor Baharu akan lebih rancak jika projek pembinaan jambatan itu diteruskan.

Presiden Persatuan Perniagaan India Johor P Sivakumar pula berkata, kedua-dua negara akan memperoleh faedah bersama menerusi pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924 itu.

ADS