dikemaskini PKR setakat hari ini masih gagal mencari pengganti timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang yang kosong susulan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin minggu lalu.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata beliau memberikan lebih masa kepada penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan isu tersebut.
"Saya tidak akan umumkan apa-apa hari ini semuanya ada dalam satu kenyataan akhbar yang telah saya sediakan, minta maaf...," katanya selepas menyampaikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada 28 sekolah jenis kebangsaan Tamil, hari ini.
Minggu lalu, Lim memberikan tempoh selama seminggu kepada PKR sehingga hari ini untuk menamakan calon jawatan tersebut.
Beliau kemudian bertolak segera ke lapangan terbang Bayan
Lepas bagi menghadiri majlis upacara angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Istana Negara.
Walaupun kecewa dengan kelengahan tersebut, tambah pemimpin kanan DAP itu, beliau faham tekanan politik yang dihadapi Anwar untuk membuat keputusannya.
Lim menambah, kelewatan itu membuka spekulasi di kalangan orang ramai termasuk kemungkinan Anwar ingin satu pilihanraya kecil diadakan di DUN Penanti, kini diwakili Mohammad Fairus.
ADUN PKR itu kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa.
Menurut Bernama , Lim juga enggan menjawab pertanyaan pemberita berhubung tarikh baru bagi mengumumkan individu yang terpilih untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Beliau juga menegaskan kelewatan itu juga tidak bermakna bahawa Anwar tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.
Lim berkata soalan lain yang mungkin diasak kepada Anwar ketika ini ialah mengapa kekosongan itu tidak diisi oleh ADUN Sungai Bakap, Maktar Shafee kerana beliau antara calon PKR yang layak.
Selain itu, tambahnya lagi, mungkin Anwar menghadapi kesukaran untuk memilih antara Maktar dengan exco perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna, Abdul Malik Abdul Kassim.
Lim juga yakin bahawa Anwar mempunyai penjelasan tersendiri berhubung perkara tersebut selepas calon yang sesuai dilantik nanti, lapor agensi berita itu lagi.
