Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika "anugerah penyapu" juga ingin diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tercorot di Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) kali ini layak menerima "piala pusingan" tersebut.

Majlis daerah itu berada di kedudukan paling bawah daripada 12 PBT apabila mendapat 50.85 mata sahaja dan masuk kategori "dua bintang" dalam penilaian terkini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Anugerah penyapu" disampaikan penghujung 2007 oleh menteri besar waktu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) - kontroversi yang dikatakan antara punca kekalahan BN di tangan pembangkang pada Mac tahun lalu.

Selain MDSB, MDHS dan Majlis Daerah Kuala Selangor juga tergolong dalam kategori sama dengan markah masing-masing 58.80 mata dan 52.75 mata.

Manakala Majlis Perbandaran Subang Jaya pula muncul sebagai PBT terbaik, dalam kategori lima bintang, dengan markah 84.40 mata.

Sistem baru kementerian yang berkuatkuasa 1 April bertujuan menggredkan prestasi PBT di seluruh negara antara satu bintang (paling buruk) sehingga lima bintang (paling baik).

Sistem penilaian bintang PBT ini melihat aspek-aspek pengurusan (30%), perkhidmatan teras (35%), pengurusan pelanggan (15%) serta penyertaan dan pandangan penduduk setempat (20%).

Exco kerajaan tempatan Ronnie Liu mengumumkan keputusan pencapaian PBT negeri itu dalam sidang media selepas mesyuarat exco di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam petang tadi.

ADS