Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas perang mulut DAP dengan PKR berhubung peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti, kini PAS pula berniat menolak parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil nanti.

Dalam mesyuarat agung PAS Permatang Pauh hujung minggu lalu, semua 115 perwakilan sebulat suara menyokong usul agar PAS bertanding di DUN tersebut, kata yang dipertuanya.

Omar Hassan memberitahu Malaysiakini hari ini, usul tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehari selepas itu dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

PAS kawasan menolak sikap PKR yang memaksa Mohammad Fairus - telah melepaskan jawatan exco dan timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang - meletakkan ADUN pula sehingga pilihanraya kecil terpaksa diadakan.

"Peletakan jawatan macam ini, ada ahli-ahli akar umbi curiga dan ragu-ragu, terutama pengundi atas pagar yang menyokong kita (Pakatan Rakyat).

"Dalam organisasi, individu adalah tanggungjawab parti. Masalah berkaitan dengan ADUN, pimpinanlah yang kena selesai masalah dalaman parti," kata Omar.

"Beliau (Mohammad Fairus) belum ditentukan kesalahannya, dia boleh duduk di situ (sebagai ADUN). Masalah dalaman, perhubungan parti (PKR) kena selesaikan masalah itu, bukannya (dengan cara) letak jawatan.

"Ia boleh menghilangkan keyakinan rakyat dan akar umbi. Oleh itu, tindakan PAS (untuk) bertanding ini, untuk menyelamatkan keadaan."

Mohammad Fairus kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salah guna kuasa.

Pertimbangan wajar

Ditanya mengenai reaksi, Abdul Hadi terhadap hasrat akar umbi kawasan tersebut, beliau tidak mengulasnya, tetapi sebaliknya berharap presiden PAS itu memberi pertimbangan sewajarnya mengenainya.

Ditanya tindakan selanjut sekiranya hasrat mereka itu tidak direstui, Omar berkata: "Kita tengok dulu. Kita tak mahu buat keputusan tergopoh-gapah.

"Tetapi inilah harapan ahli-ahli (untuk menyertai pilihanraya kecil itu)," tambahnya.

PAS di DUN Penanti mempunyai 11 cawangan dengan seramai kira-kira 3,000 ahli.

Sebelum ini pernah dilaporkan rasa tidak puas hati PAS Pulau Pinang terhadap ketua umum PKR itu dan berura-ura untuk memboikot kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, ia dapat diselesaikan dan PAS menyatakan sokongan mereka terhadap Anwar dalam muktamar parti itu di Ipoh tahun lalu.

Anwar yang bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut menang besar dengan majoriti lebih 15,000 undi.

ADS