Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar mohon maaf dari Guan Eng
Diterbitkan:  Apr 22, 2009 5:01 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap masalah antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai berikutan permohonan maaf daripada Ketua Umum PKR itu.

Lim hari ini mengesahkan bahawa Anwar telah memohon maaf berikutan kegagalan beliau memaklumkan kepada Lim mengenai peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti.

"Saya tidak mahu perkara ini berlanjutan," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini, lapor Bernama.

Sebelum ini, Lim yang juga setiausaha agung DAP secara peribadi menyatakan perasaan kurang gembira kerana Anwar tidak memaklumkan kepadanya mengenai peletakan jawatan Mohammad Fairus.

Mohammad Fairus yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I berkuatkuasa 8 April lalu, kemudiannya melepaskan jawatannya sebagai ADUN Penanti pada 16 April.

SPR umum Isnin ini

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengumumkan mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti, Pulau Pinang, Isnin ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan membuat pengumuman itu dalam sidang media pada jam 10 pagi di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

"SPR yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkara-perkara berkaitan kekosongan kerusi N.12 Penanti, Pulau Pinang.

"Berkaitan dengan perkara tersebut, sidang media oleh pengerusinya yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, telah ditunda kepada Isnin depan (27 April 2009) di ibu pejabat SPR di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat, telah meletak jawatan sebagai ADUN Penanti yang turut meletak jawatan sebagai timbalan ketua menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Sebelum ini, Mohammad Fairus, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dilaporkan sebagai berkata, langkah itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

ADS