Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GMP tidak buat laporan polis terhadap Malaysiakini
Diterbitkan:  Apr 23, 2009 4:27 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Gagasan Melayu Perak (GMP) menjelaskan bahawa pihaknya tidak membuat laporan polis terhadap Malaysiakini atau mana-mana lamanweb.

"Kami hanya membuat laporan polis terhadap seorang pelayar internet menggunakan nama PASOK, yang disiarkan di dalam sebuah lamanweb," kata Penasihat Undang-undang GMP dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataaan itu dihantar melalui faks kepada Malaysiakini petang ini dan salinannya kepada pejabat Utusan Malaysia, cawangan Ipoh.

"Kami ingin menegaskan bahawa terdapat kesilapan pemahaman di pihak Utusan Malaysia sehingga tersiar berita bahawa kami membuat laporan polis terhadap Malaysiakini.

"Walaubagaimanapun kami telah menghubungi pihak Utusan Malaysia untuk memperbetulkan laporan tersebut," katanya dalam kenyataan empat perenggan tersebut.

mohd hilmi ismail perak gmp police report on malaysiakini on sultan perak article 230409 Semalam, Utusan Malaysia dan Bernama melaporkan bahawa GMP telah membuat laporan polis terhadap Malaysiakini berhubung satu artikel yang tidak pernah disiarkan oleh lamanweb tersebut.

Dalam laporan polis itu, Presiden GMP, Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail (foto) mendakwa Malaysiakini telah menyiarkan satu artikel yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Artikel tersebut, yang bertajuk ‘Raja Nazrin defends monarchy against ridicule', yang didakwa disiarkan oleh Malaysiakini pada hari Selasa.

Apabila diperiksa, tidak ada artikel seumpama itu yang disiarkan oleh lamanweb berkenaan.

Bahagian bahasa Melayu bagaimanapun menyiarkan berita tersebut dari Bernama, tetapi ianya disiarkan pada 19 April.

Mohd Hilmidan badan pimpinannya itu membuat laporan tersebut di balai polis Sungai Senam dekat Ipoh pada jam 5 petang semalam.

Menurut laporan Bernama, Mohd Hilmi memberitahu pemberita bahawa laporan polis dibuat kerana GMP menganggap berita yang disiarkan oleh lamanweb itu bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja di negeri itu.

utusan malaysia article on perak gmp police report on malaysiakini on sultan perak article 230409 Beliau juga dilaporkan berharap Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan mengambil tindakan terhadap lamanweb itu kerana menyalahgunakan teknologi maklumat sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesannya terhadap keselamatan negara.

Apabila dihubungi Malaysiakini, Mohd Hilmi berkata beliau tidak tahu tentang artikel itu dan dimaklumkan mengenainya oleh kakitangannya, sebelum membuat laporan polis tersebut.

Penasihat undang-undang GMP, Nor Ali Nordin kemudian menghubungi Malaysiakini untuk memohon di atas kesilapan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS