Masalah sosio-ekonomi yang dihadapi masyarakat India yang dibangkitkan oleh Hindraf, boleh ditangani melalui perundingan dan perbincangan, dan bukannya secara konfrontasi, kata Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.
Katanya, pihak kerajaan dan semua pihak terbabit hendaklah bersikap proaktif untuk menyeledsaikan masalah yang dihadapi rakyat.
"Semua masalah ini benar-benar berlaku dan mereka mesti diselesaikan segera.
"Ia akan menjadi lebih berkesan sekiranya kerajaan menyelesaikan masalah-masalah tersebut, bersama dengan pihak-pihak terbabit, termasuk Hindraf," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Teng mengulas kenyataan pengerusi Hindraf, P Wathamoorthy yang menyatakan kesediaannya untuk berdialog dengan perdana menteri.
Wathamoorthy berkata beliau bersedia menemui Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggariskan masalah-masalah yang menyebabkan Hindraf terpaksa menggerakkan anggotanya mengadakan protes pada 25 November 2007.
Perbincangan yang jujur
Menurut pengerusi Hindraf itu, inilah masanya bagi perdana menteri dan kerajaan untuk berbincang dengan Hindraf dan gerakan Makkal Sakthi melalui dialog mengenai cara untuk menangani pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat India di Malaysia.
Wathamoorthy berkata, Hindraf dan gerakan Makkal Sakthi sentiasa bersikap terbuka untuk memulakan satu perbincangan yang jujur dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membantu menyelesaikan penyakit sosio-ekonomi yang melanda masyarakat India.
Sehubungan itu, Dr Teng berkata, Gerakan mengalu-alukan saranan Waythamoorthy untuk berdialog dengan kerajaan sebagai satu langkah yang positif.
Katanya, penyakit sosio-ekonomi, masalah pendidikan dan isu membabitkan status kerakyatan yang dihadapi masyarakat India tidak boleh dianggap sebagai masalah masyarakat tersebut sahaja.
"Semua masalah ini perlu ditangani sebagai masalah rakyat Malaysia.
"Oleh itu, masalah-masalah ini mesti diselesaikan oleh kerajaan dan semua rakyat Malaysia secara rasional, tanpa dipolitikkan," kata Dr Teng.
