Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam, jelaskan dulu 'hala tuju PAS', kata Nasrudin

kemaskini 8.29pm Timbalan ketua Pemuda PAS menyahut seruan Datuk Husam Musa untuk berbincang dengannya susulan penerbitan artikel menggesa naib presiden PAS itu mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Nasrudin Hasan berkata beliau bagaimanapun juga bersedia memohon maaf kepada Husam jika artikelnya "Datuk Husam Wajar Tanding Presiden" mengguris hati exco kerajaan Kelantan itu.

"Jika sekiranya tulisan saya itu mengguris hati dan menimbulkan perasaan tidak gembira kepada beliau, saya secara peribadi memohon maaf.

"Saya masih lagi menghormati beliau sebagai naib presiden," katanya kepada Malaysiakini .

Nasrudin juga menuntut Husam, yang disebut-sebut ingin bertanding jawatan timbalan presiden PAS, menjelaskan maksud "hala tuju PAS yang tidak jelas" di blog pemimpin Kelantan itu.

"Saya bersedia berjumpa dengan beliau bila-bila masa untuk menarik balik kenyataan itu, tetapi beliau harus memberi penjelasan kenapa beliau menyatakan hala tuju PAS tidak jelas dan tidak nyata," katanya.

"Ini kerana, (kenyataan Husam) itu juga menimbulkan rasa tidak jelas kepada parti.

"Kalau tulisan saya menimbulkan perasaan tidak gembira, di sana ada ahli tidak gembira dengan kenyataan beliau, di kalangan mereka yang ikhlas dengan perjuangan parti."

Nasrudin berkata, sewaktu beliau membaca kenyataan Husam itu, beliau sendiri turut berasa "terpukul dan tersinggung" dengan kenyataan pemimpin itu.

Timbalan ketua Pemuda PAS diminta mengulas kenyataan Husam hari ini yang dilaporkan "jelas tidak senang hati" dengannya dan menggesa pemimpin Pemuda itu bersemuka, bukannya membuat kenyataan sinis.

Menurut Bernama , Husam berkata Nasrudin tidak sepatutnya menggunakan blog untuk membuat kenyataan sehingga dipetik oleh media yang menggambarkan suasana tidak harmoni dalam PAS.

Dalam blognya Episode Sebuah Perjuangan , Nasrudin hujung minggu lalu berpendapat Husam tidak wajar bertanding mencabar Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PAS, di muktamar Jun ini.

Menurutnya, jika Husam yakin hala tuju parti itu tidak jelas - khususnya ada usaha berunding dengan Umno - maka jawatan presidenlah yang harus direbutnya.

"Tetapi saya tidak bersetuju beliau bertanding ke jawatan timbalan presiden. Kerana jawatan timbalan presiden tidak akan banyak membantu beliau untuk membetulkan kembali arah tuju parti yang kini telah kabur dan pudar malah meragukan ahli parti (seperti didakwa Husam).

"Jawatan yang sepatutnya ditandingi oleh seorang yang hebat dan berwibawa seperti Datuk Husam ialah jawatan presiden PAS itu sendiri," coret Nasrudin di blognya 3 Mei lalu.

Artikel itu sebagai reaksi tulisan blog Husam penghujung bulan lepas.

Naib presiden PAS itu menjelaskan sebab-sebab beliau berminat mencabar Nasharuddin bagi jawatan nombor dua parti.

"Saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya.

"Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu diganggu.

"Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan timbalan presiden, insya Allah," kata Husam di blognya 29 April lalu.

ADS