Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika penentangan majoriti ADUN Umno terhadapnya belum reda, menteri besar Terengganu menemui seorang tokoh utama PAS baru-baru ini – membuka pelbagai spekulasi baru.

Walaupun Datuk Ahmad Said dikatakan "hanya membeli dua ekor kambing" milik ADUN Manir, Datuk Harun Taib, seorang pemimpin Pemuda PAS membuat andaian sebaliknya.

Pertemuan Ahmad dengan bekas ketua Dewan Ulama PAS itu diadakan di rumah pemimpin pembangkang itu di Kampung Kubang Lembek dekat Kuala Terengganu minggu lalu.

Harun mengesahkan Ahmad membeli dua ekor kambingnya jenis boer.

Bagaimanapun timbalan ketua Pemuda PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu Malaysiakini , "tetapi saya rasa mereka ada urusan lain. Mungkin ada membincangkan isu-isu politik."

Ahmad berdepan dengan tindakan 18 ADUN Umno yang mahu menyingkirkannya daripada jawatan itu – yang disandangnya di tengah-tengah bantahan besar kumpulan bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Mac tahun lepas.

Pertengahan bulan lalu, 10 daripada ADUN pro- Idris memulaukan persidangan DUN dengan alasan nyawa mereka terancam.

Tiga daripada mereka menerima SMS ugutan susulan ura-ura cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di persidangan tersebut.

Ketika dihubungi, Harun berkata Ahmad membeli dua ekor kambing jenis boer tetapi tidak mahu memberitahu harganya.

Ditanya sama ada mereka turut membincangkan isu politik khususnya membabitkan usaha 18 ADUN BN tersebut, Harun berkata, "kita bercakap kisah kambing sahaja."

"Tidak eloklah bercakap pasal lain kerana Datuk Ahmad datang hendak membeli kambing," tambahnya, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu.

Harun antara pemimpin PAS yang dikatakan condong kepada aliran pro-rundingan PAS-Umno seperti juga pendirian pesuruhjaya negeri Datuk Mustafa Ali dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Harun bagaimanapun menambah, PAS negeri sedia berunding dan bekerjasama dengan Ahmad dan mana-mana pemimpin Umno lain.

Katanya, semasa sidang DUN lalu, beliau pernah menyebut bahawa PAS sedia berunding dengan pemimpin Umno negeri.

"Tetapi Ahmad tidak menjawab. Tapi kalau dia jawab, kita boleh berunding,” katanya.

"Kalau sungguh mereka hendak (berunding), saya sanggup bincang."

ADS