Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS WP dakwa menteri lepas tangan...
Diterbitkan:  May 13, 2009 12:54 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bersikap cuba lepas tangan terhadap isu pemindahan penduduk setinggan di kawasan Indian Settlement di Kampung Pandan.

Timbalan ketuanya, Herman Samsudeen mendakwa, menteri berkenaan cuba lepas tangan dengan menyatakan proses penempatan semula penduduk terbabit adalah kesinambungan usaha menteri terdahulu, Datuk Zulhasnan Rafique.

"Sewajarnya beliau tidak mengikut secara membuta tuli dasar yang dibuat Zulhasnan. Sepatutnya beliau sendiri turun dan bertemu dengan rakyat di Kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

DBKL telah mengeluarkan notis untuk meroboh kira-kira 200 rumah di situ esok. Manakala penduduk terbabit dilaporkan mahu mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang DBKL daripada berbuat demikian.

Bagaimanapun hari ini, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan dilaporkan berkata, kerja-kerja perobohan rumah di situ ditangguh sehingga bulan Oktober depan.

Sementara itu, Herman berkata, akibat kegagalan menteri tidak turun sendiri bertemu dengan rakyat, beliau membuat kesimpulan yang yang tidak tepat dengan mengatakan isu Indian Settlement adalah isu kaum India sahaja.

"Walhal kampung itu dihuni oleh pelbagai kaum termasuk Melayu dan Cina walaupun namanya Indian Settlement," tegas Herman mengulas kenyataan Raja Nong Chik mengenainya semalam.

Raja Nong Chik juga dilaporkan berkata, penduduk terbabit memohon untuk mendapat hakmilik tanah di situ, tetapi ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sikap prejudis

Beliau dilaporkan berkata, jika DBKL meluluskan permohonan mereka, nanti masyarakat India yang lain pula mahu berbuat demikian.

Herman menyifatkan kenyataan menteri berkenaan sebagai bersifat terhadap kaum India.

Sebaliknya, kata beliau, isu tersebut tidak harus timbul kerana mereka sudah lama tinggal di situ - lebih 40 tahun keturunan mereka - dan mereka juga adalah rakyat Wilayah Persekutuan.

"Tindakan memindahkan mereka ke Kampung Muhibbah di Puchong, Selangor umpama menghalau mereka dari bumi Wilayah Persekutuan yang menjadi tempat kelahiran mereka.

"Jika atas nama pembangunan sekalipun, menteri harus bertindak secara bijak bukannya membuta tuli," tambahnya.

Herman juga berkata, berdasarkan tinjauan Pemuda PAS Wilayah, penduduk terbabit ada memohon untuk dipindah ke PPR Sri Alam dalam kawasan Kuala Lumpur tetapi tidak dilayan atas alasan ia telah diberikan kepada penduduk kampung lain.

kawasan indian settlement kampung pandan titiwangsa parlimen 110509

ADS