Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tiada pengumuman menggemparkan dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam sidang media khas beliau hari ini seperti yang diura-urakan dalam internet dan laman blog semalam.

Mursyidul am PAS itu sebaliknya mengulas isu perpaduan kaum dalam negara sempena mengenang 40 tahun peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Nik Aziz sebelum ini diura-urakan bakal membuat "kenyataan penting" dan "akan mengumumkan suatu penawarannya kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan perpaduan nasional".

Perkara itu tersebar dalam internet dan laman blog, termasuk yang diusahakan pihak yang dekat dengan Pejabat Menteri Besar Kelantan sendiri.

Sebelum ini, pengumuman beliau dispekulasikan mempunyai kaitan dengan kehangatan berkempen menjelang muktamar pemilihan PAS awal 3 hingga 7 Jun ini.

Tambahan lagi, pengarah jawatankuasa pemilihan parti itu, Datuk Mustafa Ali dijadual mengumumkan sebarai calon yang layak bertanding untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden Sabtu ini.

Pemilihan parti

Nik Aziz sendiri turut dicalonkan untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu, menentang presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Bagaimanapun, dilaporkan tidak akan bersaing dengan Hadi.

Setiap tokoh hanya memerlukan dua pencalonan daripada kira-kira 170 kawasan PAS untuk melayakkan mereka bertanding jawatan tertinggi parti.

Pencalonan untuk jawatan presiden ditunggu-tunggu kerana ia dikatakan menggambarkan protes akar umbi terhadap kepimpinan Hadi yang sering bergeser dengan Nik Aziz, antaranya dalam soal kerajaan perpaduan dan muqabalah dengan Umno.

Pertandingan merebut jawatan tertinggi parti kali ini, termasuk pergerakan Pemuda dan Muslimat PAS, dijangka sengit akibat pertembungan dua aliran utama dalam PAS - pro-muqabalah dengan "Kumpulan Erdogan" yang pro-penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, dalam ucapan ringkas di kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu pagi ini, Nik Aziz menyeru ke arah perpaduan kaum yang lebih erat berteraskan prinsip Islam, demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.

Nik Aziz juga menekankan keperluan rakyat mendapat jaminan keselamatan daripada pelbagai kejadian jenayah yang sedang menjadi-jadi dalam negara.

ADS