Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelab Penyokong PAS (KPP) menggesa penyertaan bukan Islam sebagai ahli bersekutu disegerakan kerana sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu kelihatan sudah semakin tepu.

Pengerusinya, Hu Pang Chow berkata, sokongan masyarakat Cina dan India perlu ditekankan kerana sokongan kaum Melayu “tidak berubah” - 40 hingga 45 peratus sahaja yang memilih parti pembangkang itu.

hu pang chaw "Kita kena pandang jauh. Jangan tunggu dekat pilihanraya baru nak ikhtiar (dapatkan sokongan). Macam kita sebut kepada kekasih I love you ," katanya.

"Sebutlah seribu kali pun, tetapi bila ajak kahwin, tidak mahu. Lama-lama tentulah dia (kekasih) lari."

Beliau diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam yang menangguhkan keahlian bersekutu bukan Islam dengan alasan bimbang "diserang habis-habisan" oleh Umno.

Dalam bentuknya sekarang sejak ditubuhkan pada 2004, tambah Hu, KPP hanya organisasi longgar yang menyebabkan kesetiaan ahli tidak dapat dikekalkan.

Hu bimbang PAS akan kehilangan undi bukan Melayu jika keahlian bersekutu tidak disegerakan, dengan menaiktaraf KPP kepada sebuah dewan – seperti Dewan Pemuda atau Dewan Muslimat – selepas diterima oleh barisan pemimpin parti itu dalam satu pertemuan di Langkawi, hujung tahun lalu.

"(Usaha naik taraf KPP) sekarang ini agak perlahan. Saya bimbang dalam pilihanraya akan datang timbul masalah.

"Sokongan masyarakat Cina dan India terhadap PAS di tempat ketiga selepas MCA dan MIC.

"Kalau (status) KPP terus tergantung, akan timbul masalah," katanya, sambil menambah beberapa rakannya yang sama-sama mengasaskan KPP lima tahun lalu sudah tidak lagi aktif.

"Saya pun setahun lagi hendak bersara daripada politik. Tidakkan selama-lamanya saya hendak berada dalam politik."

Hu berkata, kelewatan itu berpunca daripada "masalah dalaman" PAS dan sesetengah pemimpin PAS yang "tidak serius" berhubung penyertaan ahli bukan Islam.

Beliau bagaimanapun enggan menghuraikan lanjut mengenai dua perkara itu.

Tambahnya, dengan penyertaan ahli bukan Islam, ada juga ahli akar umbi PAS yang bimbang kedudukan jawatan pemimpin kanan dan kedudukan dua dewannya – kecuali Dewan Ulama – hilang pengaruh.

"Saya pun tak nak orang bukan Islam tiba-tiba hendak bertanding jawatan presiden," katanya, sambil menambah telah membuat cadangan lengkap berhubung penyertaan bukan Islam pada Oktober tahun lalu.

ADS