Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi kekal presiden, 5 calon timbalan, 16 calon naib

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden PAS tanpa bertanding, manakala lima orang dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden dan 16 lagi untuk jawatan naib presiden.

Manakala 86 orang lagi dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Dan jumlah ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Mustafa Ali adalah yang teramai dalam sejarah pemilihan parti itu.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya selepas menerima pencalonan 136 daripada 137 PAS kawasan.

Satu lagi kawasan - Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan - mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden.

Untuk layak bertanding bagi semua jawatan parti, setiap calon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan.

Bagi jawatan timbalan presiden, lima orang yang dicalonkan termasuklah penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa.

Calon timbalan

Empat lagi yang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din; Naib-naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu.

Nasharuddin, Abdul Razak, Dr Harun turut dicalonkan untuk bertanding jawatan naib presiden, bersama-sama tiga lagi penyandangnya, Husam, Mohd Sabu dan Ahmad Awang.

Pertandingan adalah untuk merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS bulan depan. Sepuluh lagi calon naib presiden ialah:

1. Datuk Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor, exco kerajaan Selangor)

2. Idris Ahmad (ahli jawatankuasa pusat PAS, dan ahli Parlimen Tumpat)

3. Datuk Kamaruddin Jaffar (Setiausaha agung PAS)

4. Datuk Mahfuz Omar (Ketua penerangan dan MP Pokok Sena)

5. Nik Mohd Amar Nik Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan)

6. Mujahid Yusof Rawa (MP Parit Buntar).

7. Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Perak)

8. Salahuddin Ayub (MP Kubang Krian)

9. Taib Azamuddin (MP Baling)

10. Datuk Ibrahim Tuan Man

Pertandingan bagi jawatan AJK pusat adalah untuk 18 kerusi, manakala enam lagi kerusi AJK dilantik oleh parti.

Menurut Mustafa, surat tawaran akan dihantar kepada semua calon untuk mendapatkan pengesahan mereka bertanding.

Pencalonan bagi jawatan utama parti ditutup pada 8 Mei lalu, manakala pencalonan bagi jawatan utama Dewan Pemuda dan Muslimat PAS adalah pada 17 Mei ini.

Senarai muktamad 26 Mei

Menurut Mustafa, senarai calon muktamad yang akan bertanding bagi jawatan utama parti, termasuk Pemuda dan Muslimat akan diumumkan pada 26 Mei depan.

Katanya, PAS mempunyai 176 kawasan di seluruh negara dan 137 daripadanya menghantar pencalonan bagi jawatan utama utama.

Tambahnya, 1,000 hingga 1,100 perwakilan akan menghadiri muktamar parti itu awal bulan depan. Beliau bagaimanapun enggan menyatakan peratusan pencalonan bagi calon-calon terbabit.

Dalam sidang media yang sama, Mustafa turut menegur laporan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita yang menyatakan Nasarudin Mat Isa

mendapat 60 peratus pencalonan.

"Dapat mana ni?... Dan dalam berita yang sama ada dihubungkait secara tidak langsung sidang media saya di Kuala Terengganu di mana saya tak pernah sebut perkara ini...ia boleh mengelirukan orang.

"Saya pun dihubungi oleh banyak pihak termasuk pemimpin PAS, apakah jawatankuasa ini dah dedahkan dia punya (pencalonan)... jadi integriti saya tu tak berapa baguslah.

"Kita tak pernah dedah siapa yang dapat banyak pencalonan. Tidak pernah.

"Berita itu tak betul. Tak pernah daripada jawatankuasa ini menyiarkan siapa yang dapat berapa peratus calon atau berapa banyak pencalonan."(Cuma) yang kita beritahu dekat calon sendiri, berapa pencalonan yang dia dapat. Kita beritahu," kata Mustafa.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat pemimpin parti itu cuba mempengaruhi perwakilan melalui penganjuran jamuan dan pemberian baju, Mustafa berkata, beliau tidak menerima apa-apa laporan berhubung perkara tersebut.

"Saya tidak menerima laporan sebab saya yakin perkara ini tidak berlaku. Saya tidak risau sebab perkara ini saya yakin tidak berlaku," katanya.

Menjawab soalan berhubung Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM akan menyiasat berhubung perkara tersebut, Mustafa berkata:"Tidak berbangkit sebab saya sendiri tidak terima laporan apa-apa," katanya.

ADS