• Hashim Jasin tarik diri
  • Jimadie Shah Othman
  • 1242793450
  • Penyandang jawatan timbalan ketua Dewan Ulama PAS, Hashim Jasin menarik diri daripada mempertahan jawatan tersebut dan sekaligus memberi laluan kepada timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

    Apabila pencalonan ditutup pada 17 Mei lalu, jawatan ketua dewan tersebut dimenangi tanpa bertanding oleh timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib apabila penyandangnya, Datuk Mohammad Daud tidak mempertahankan jawatan tersebut.

    Manakala Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pula menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua Dewan Ulama.

    hashim jasinIni bermakna ketiga-tiga jawatan utama kepimpinan Dewan Ulama PAS dimenangi tanpa bertanding.

    Manakala 41 orang dicalonkan untuk bertanding mengisi 16 kerusi ahli jawatankuasa dewan tersebut.

    Hashim yang juga pesuruhjaya PAS Perlis dan ADUN Sanglang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

    'Ada calon lebih layak'


    Katanya, beliau menarik diri kerana mahu memberi peluang kepada Ahmad yang menurutnya memang layak memegang jawatan tersebut.

    "Saya harap dia juga jangan tarik diri. Dia muda lagi dan lebih banyak tenaga. Kita dalam PAS bukan hendak merebut jawatan.

    "Tak payah pakai politik wang untuk membuat saya undur diri," katanya berseloroh.

    Mengulas lanjut, Hashim berkata, keputusannya mengundurkan diri itu telah lama dibuat sekiranya terhadap calon yang lebih layak menggantikannya.

    "Saya memang dok cakap lama dah. Kalau ada orang yang lebih layak, saya akan undur diri," katanya.

    Hashim berkata, beliau akan memaklumkan keputusannya itu kepada jawatankuasa pemilihan secara rasmi.

    Bagaimanapun, menurut Hashim, beliau akan terus menyambung khidmatnya sebagai wakil rakyat Sanglang dan ketua pembangkang Perlis.

    Ditanya sama ada keputusannya itu membolehkannya menumpukan lebih masa sebagai pesuruhjaya PAS negeri, Hashim berkata, beliau belum tentu lagi dilantik semula memegang jawatan tersebut.
    • Ahmad layak
    • ADUN Sanglang